Pandemik akan berakhir, tak perlu terburu-buru ambil vaksin, kata presiden Brazil

0
320
Presiden Brazil Jair Bolsonaro berkata negara itu berdepan peningkatan kes Covid-19 yang ‘sedikit’. (Gambar AP)

SAO PAULO: Presiden Brazil Jair Bolsonaro, yang sebelum ini dikatakan tidak mahu mengambil vaksin Covid-19 berkata, beliau tidak menganggap tindakan terburu-buru dunia mendapatkan vaksin bagi wabak itu wajar kerana percaya pandemik itu bakal berakhir.

Kes baharu Covid-19 tidak menunjukkan tanda-tanda wabak itu berakhir.

Malah, dalam beberapa hari lepas, beberapa negara, termasuk Brazil, melaporkan kes harian yang tinggi, lapor Reuters.

“Pandemik ini benar-benar menuju penghujungnya, angkanya menunjukkan perkara ini. Kita kini berdepan dengan peningkatan yang sedikit,” kata Bolsonaro.

“Langkah tergesa-gesa untuk mendapatkan vaksin adalah tidak wajar kerana ia melibatkan nyawa orang ramai.”

Bolsonaro pernah dikritik kerana meremehkan wabak Covid-19, dengan berkata, penyakit yang disebabkan oleh virus itu sebagai “selsema kecil” walaupun Brazil merupakan antara negara yang paling terkesan dengan jangkitan.

Pada Sabtu, Brazil mencatatkan 50,177 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kes 7,213,155.

Jumlah kematian juga meningkat 706 kes kepada 186,356.