Wednesday, December 25, 2024
HomeBREAKING NEWSMutasi baru Covid-19 dari UK dikesan di Malaysia

Mutasi baru Covid-19 dari UK dikesan di Malaysia

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM memantau semua pelancong dari negara yang melaporkan kes mutasi varian UK B117, termasuk UK, Belanda, Singapura, Turki, Filipina dan India sejak Oktober lalu.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan kes pertama mutasi Covid-19 varian B117 dari United Kingdom pada seorang pelancong mempunyai sejarah perjalanan ke UK bulan lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pelancong itu didapati positif 28 Dis lalu dan sudah diasingkan untuk rawatan lanjut.

Katanya, sejak Oktober tahun lalu, KKM memantau semua pelancong dari negara yang melaporkan kes mutasi varian UK B117, termasuk UK, Belanda, Singapura, Turki, Filipina dan India.

“Sebanyak 968 sampel diuji sejak Oktober dan melakukan ‘genome sequencing’ bagi mengesan jenis mutasi UK B117 ini kepada 24 sampel.

“Setakat hari ini, tiada penularan dalam negara dikesan berkaitan virus mutasi UK B117 tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, KKM melalui Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) serta Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) akan sentiasa memantau perkembangan mutasi UK B117.

“Walaupun mutasi UK B117 didapati tidak menyebabkan simptom teruk, namun ia boleh menular dengan mudah dan cepat.”

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments