Sunday, November 17, 2024
HomeBREAKING NEWSMUDA dan kuasa belia

MUDA dan kuasa belia

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Malaysia berhak mendapat kumpulan pemimpin baru dan lebih bertenaga.

PETALING JAYA: Dengan 2020 menjadi tahun yang menyaksikan perbalahan politik – daripada penggulingan sebuah kerajaan pada Februari hingga cubaan penggulingan terbaru bulan ini, mungkin tiba masanya sekumpulan pemimpin baru mengambil alih pemerintahan di Malaysia.

Sekurang-kurangnya, itu yang difikirkan bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Malaysia berhak mendapat yang lebih baik,” katanya kepada FMT dalam temu bual khas.

“(Negara berhak mendapat) kumpulan kepemimpinan baru, yang lebih bertenaga dan muda, bukan barisan pemimpin yang sama sejak dua, tiga, empat dekad yang lalu.”

Bunyi seperti angan-angan, tetapi Ahli Parlimen Muar itu percaya rombakan lanskap politik semasa satu-satunya cara. Sudah tentu, beliau tidak merancang untuk melakukannya bersendirian.

Pemuda berusia 28 tahun itu disokong parti barunya, Malaysian United Democratic Alliance (MUDA), dan generasi muda yang merupakan sebahagian daripadanya.

Ditubuhkan September lalu sebagai parti pertama berasaskan belia, MUDA masih menunggu pendaftarannya diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Beberapa penyokongnya, termasuk pengasas bersama Radzi Tajuddin, yang merupakan sebahagian daripada Majlis Tindakan Ekonomi Negara, aktivis Amir Abdul Hadi, serta bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif Permodalan Nasional Bhd, Jalil Rasheed. Semuanya adalah pemimpin muda, dengan Jalil paling tua, iaitu 38 tahun.

Menurut Syed Saddiq, menembusi halangan politik tradisional hanyalah langkah pertama. Langkah seterusnya adalah berusaha meneroka potensi sebenar Malaysia.

“MUDA akan membawa kumpulan kepimpinan baru, segar dan bertenaga. Kami ingin memastikan bahawa perwakilan belia terserlah. Kami ingin memastikan kepelbagaian kaum ditegakkan dalam setiap tahap pembuatan keputusan.

“Pendekatan ini mungkin dilihat drastik, tetapi pada masa sama, ia ia benar-benar mengubah gaya lama politik Malaysia yang masih diamalkan hingga kini,” katanya sambil menambah sekurang-kurangnya parti itu mampu mencegah negara daripada kemunduran.

Seruan berulang kali untuk penyertaan belia dalam politik mungkin membosankan orang ramai. Malah bagi beliau, kehidupan politik “agak membosankan dan tertekan”.

Namun, beliau berkata, ia juga “sangat penting” untuk belia didengari, dan tidak mempunyai generasi tua yang bercakap bagi pihak mereka semasa proses membuat keputusan.

“Sekiranya generasi lebih tua tidak peduli dengan masalah iklim dan persekitaran, kita akan menjadi orang yang paling menderita. Sekiranya mereka tidak dapat menangani masalah pembayaran hutang dengan berkesan, kita perlu mewarisi hutang tersebut.

“Sekiranya kita tidak mampu menyediakan pengangkutan awam yang hebat, sekali lagi, orang muda yang akan menjadi tenaga kerja, menderita dengan masalah itu dalam sistem pengangkutan awam.

“Dengan cara ini, kehidupan kita dipertaruhkan pada masa depan, dan kita perlu menempuh satu perjalanan yang panjang. Ini bukan bermakna kita akan hidup lebih lama daripada orang lain, tetapi dengan perjalanan ini adalah tanggungjawab kita dan tanggungjawab Malaysia untuk memastikan suara kita ini penting, kerana kita orang muda akan mewarisi negara ini.”

 

Adrianne Fernandez dan Ethan Lee ialah pelajar asasi jurusan seni di Universiti Taylor yang turut menyumbang kepada laporan ini.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments