Sunday, December 22, 2024
HomeBREAKING NEWSMohon maaf dan U-turn dalam politik

Mohon maaf dan U-turn dalam politik

Titah di Raja yang cukup hebat. Ia disampaikan pada istiadat pelantikan Saarani Mohamad sebagai menteri besar Perak yang baharu berikutan krisis politik yang tercetus seminggu lalu.

Ini menteri besar ketiga Perak sejak pilihan raya umum ke-14 pada 2018. Istiadat kali ketiga yang mencatat sejarah baharu kerana tidak pernah berlaku dalam sesuatu penggal Dewan Undangan Negeri Perak sebelum ini.

Namun titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, ini bukan sejarah yang dibanggakan. Malah ia akan tercatat dalam sejarah yang mencerminkan kegagalan.

“Kegagalan kepimpinan dalam kalangan ahli-ahli politik mendapat jaminan sokongan padu secara konsisten untuk membolehkan fikiran dan tenaga ditumpukan mentadbir urus negeri secara terbaik bagi kepentingan rakyat,” titah Sultan Perak. Mesej serta sasaran sudah cukup jelas. Sesiapa yang berkenaan jika tidak faham tak tahu lah apa nak saya katakan.

Jumaat lalu, UMNO membentang usul undi percaya terhadap menteri Ahmad Faizal Azumu. Walaupun ia usul undi percaya matlamatnya nyata. Jelas UMNO mahu Faizal yang juga timbalan presiden PPBM pimpinan Muhyiddin Yassin ditumbangkan.

Seramai 24 daripada 25 ADUN UMNO tidak menyokong Faizal. ADUN Pakatan Harapan memang tidak menyokong. Faizal terguling dan terpaksa letak jawatan. Tumbang bersama kerajaannya yang terdiri daripada ADUN UMNO, PAS, dan PPBM.

Tercetus krisis politik bila mana menteri besar dan kerajaan baharu dicari untuk mengganti yang tumbang. Tidak perlu dihuraikan kerana ramai yang mengikuti apa yang berlaku selama satu minggu lalu.

Akhirnya Umno dapat apa yang dihajati. Kerusi MB milik mereka. PPBM dan PAS turut serta kerajaan baharu bermakna pentadbiran Perikatan Nasional dengan Umno kekal walaupun buat seketika UMNO mengancam menubuhkan kerajaan bersama Pakatan Harapan termasuk DAP jika PAS dan OOBM tidak mahu bersamanya.

Bagi saya kekalnya kerajaan Perikatan Nasional dan UMNO mentadbir Perak bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Walaupun bermacam kata-kata kesat dan “berapi” dilemparkan ke atas satu sama lain.

UMNO kata PPBM tidak layak mengemudi kerajaan negeri kerana berbanding UMNO parti itu hanya ada lima ADUN, itu pun termasuk ADUN yang melompat dari UMNO.

UMNO ada 25 ADUN. Jelas UMNO melihat PPBM parti lemah dan kecil. Bagi UMNO, Faizal mesti ditumbangkan berikutan pelbagai tindakannya yang tidak disenangi. ApaTah lagi Faizal kerap dituduh pelbagai pihak sebagai seorang MB yang tidak cekap.

PAS pula tuduh sesiapa yang tidak menyokong Faizal dan PPBM adalah pengkhianat dan penderhaka. Jelas sasarannya UMNO. PAS pada awalnya berkeras tidak akan menyertai kerajaan baharu Perak.

PPBM kecewa dengan tindakan UMNO yang dituduh “menikamnya dari belakang”.

Pun begitu, mereka boleh bersetuju juga menubuhkan kerajaan yang dipimpin orang UMNO. Saarani selaku MB baharu dipetik berkata akan berusaha “mengubati luka” antara parti PN di Perak.

“Apabila ketiga-tiga pimpinan tertinggi tanda tangan persetujuan kerjasama, siap sedia satukan hati pemimpin ketiga-tiga parti (UMNO,PAS, PPBM), kita usahakan untuk ubatkan luka jika ada”.

Jika ada? Tentu ada. Kita bukan cakap pasal nabi atau malaikat. Kita cakap mengenai manusia biasa yang punyai perasaan dan emosi. Mustahil ahli parti malah pemimpin yang boleh melupakan apa yang terjadi atau “let bygone be bygone” demi “the big picture”.

Yang nyata ahli biasa mesti akur dan menerima pelan damai yang ditandatangani pihak atasan iaitu setiausaha agung BN, PPBM, dan PAS. Memang mudah untuk mereka mengarahkan semua mesti bersatu hati. Yang terkesan bukan mereka tetapi ahli dan pemimpin peringkat negeri.

Namun ahli dan pemimpin negeri “bersatu hati” demi survival bukan sekadar parti masing-masing tetapi pemimpin sendiri. Sebenarnya, demi pemimpin untuk kekal berkuasa. Supaya jangan hilang kuasa. Kuasa nikmatnya amat manis.

Oleh itu semua “berdamai” dan tubuhkan kerajaan. Sama ada benar-benar luka sudah diubati atau luka masih ada tetapi disembunyikan waullahualam.

Begitu kejamnya politik.

Akan tetapi yang memusykilkan ialah ucapan maaf President UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, keatas apa yang berlaku.

Zahid memohon maaf bagi pihak ADUN Umno/BN “di atas kekhilafan yang berlaku”? Apa maksudnya?

Menurut Wikipedia, “khilaf” bererti keliru atau salah. Dalam Islam, “khilaf” biasanya membawa erti pertentangan atau berlawanan.

ADUN Umno Perak dikatakan khilaf (lantas Zahid mohon maaf), apa maksudnya? Apa yang khilaf? Adakah membawa usul sokongan untuk Faizal sesuatu yang “khilaf”?

Adakah menumbangkan Faizal satu kekhilafan? Adakah langkah yang diambil tidak dibincang terlebih dahulu, tidak diteliti semua pihak dalam UMNO termasuk di peringkat Majlis Kerja Tertinggi? Adakah kepimpinan tertinggi UMNO terlepas pandang dan tidak merestui langkah yang diambil ADUN UMNO Perak? Sehingga presiden perlu mohon maaf.

Perlu dingat Nazri Aziz, pemimpin UMNO yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas di Perak, pernah dilaporkan berkata penyingkiran Faizal sudah dijangkakan dan rancangan menumbangkannya digerakkan sejak dua bulan lalu. Adakah MKT tidak tahu ini semua?

Jadi dimana “khilafnya” dan siapa yang “khilaf” walaupun permohonan maaf yang diucapkan Zahid bagi pihak ADUN UMNO Perak. Siapa antara mereka? Adakah mereka semua sama-sama “khilaf”?

“Permohonan maaf Zahid sangat memalu dan menjatuhkan maruah UMNO sebagai parti yang gah selama ini,” kata penulis politik veteran, Mohd Sayuti Omar.

Zahid, kata beliau, nampak macam terdesak dan “adakah Zahid diugut dan diancam dengan apa yang berlaku di Perak sehingga dia begitu apologetic?”

Bukan itu sahaja yang diperkatakan Sayuti. “Kalau apa yang berlaku di Perak dirancang, maka jelas ia memakan diri dan Zahid perlu letak jawatan kerana dalam game antara UMNO, PPBM, dan PAS, ternyata UMNO tewas dan dangkal,” kata Sayuti.

Namun menurut seorang pemerhati politik “dalam game ini UMNO dilihat berjaya tekan PPBM dan PAS kembali ke meja rundingan, dapat semula jawatan MB, dan meneraju gabungan di Perak. Menuju PRU-15 pastinya rundingan kerusi akan menjadi tajam.”

PAS, kata beliau, membuat “U-turn” kerana bimbang hilang jawatan manakala PPBM lebih berhati-hati kerana bimbang krisis Perak boleh berlarutan ke Parlimen.

Bagi saya kesimpulan terbaik dibuat Mohd Azlan Zainal dari Ilham Centre menerusi posting ini di Facebook:

“Dalam politik ada tiga hal yang mustahak iaitu diskusi yang bisa dianggap komunikasi, negosiasi yang serius atau acah-acah kononnya diplomasi, dan transaksi yang menjadi penentu kepada sebuah jati diri. Sokongan pasti hadir dengan tawaran atau muncul dalam tekanan.”

“Mohon maaf itu terlalu mudah dikala meminta keizinan terlalu payah. Ego, namun tidak mengapa kerana patah balik dan membuat pusingan semula itu sudah menjadi kebiasaan.”

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments