Friday, October 18, 2024
HomeBREAKING NEWSMereka semua manusia, kata wanita dari Alor Setar bantu gelandangan di Melbourne

Mereka semua manusia, kata wanita dari Alor Setar bantu gelandangan di Melbourne

Cecilia bersiap sedia untuk menyajikan makanan percuma. (Gambar Cecilia Chuah)

PETALING JAYA: Selepas mendapati sebilangan gelandangan berada di tempat letak kereta Queen Victoria Market di Melbourne pada satu petang, Cecilia Chuah bergegas pulang ke rumah, menyediakan nasi goreng dan kembali ke situ untuk memberi mereka makanan.

Bermula dengan hanya empat bungkus nasi goreng pada Mei lalu, ia sudah menjadi kebiasaan dilakukannya secara mingguan. Cecilia bersama anak perempuannya Shanice, suaminya Chai dan sepupunya Alex memberi 100 bungkus masakan Malaysia kepada gelandangan yang beratur di tempat letak kereta itu setiap Selasa.

Minggu lalu, dengan Krismas hampir menjelang, Cecilia dan keluarganya memberi lebih 70 beg galas baharu yang dipenuhi pakaian, peralatan mandian dan coklat selain bungkusan makanan.

Cecilia yang berasal dari Alor Setar, Kedah, berkata dia berminat untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Saya dan rakan sebelum ini masuk ke kampung di Kedah untuk memberikan Milo, minyak masak dan nasi ketika kami masih muda,” katanya kepada FMT.

“Ibu saya selalu berkata ‘kamu seorang penyibuk, suka ambil tahu hal orang,’” katanya sambil ketawa. “Tetapi ia tidak susah atau memakan masa yang lama dan ia tidak merugikan apa-apa untuk membantu apabila anda mempunyai peluang.”

Selepas berpindah ke Melbourne 18 tahun lalu, bila suaminya mendapat pekerjaan dalam perniagaan bengkel kereta milik saudaranya, Cecilia menjadikan aktiviti memasak yang digemarinya sebagai perniagaan.

Beliau memasak dan menghantar masakan Malaysia di sekitar bandar itu sebagai perniagaan sampingan sambil bekerja secara sepenuh masa dengan suaminya di bengkel kereta.

Kini, golongan gelandangan berpeluang merasai masakannya.

Cecilia berbual dengan seorang gelandangan yang menerima masakan Malaysia. (Gambar Cecilia Chuah)

“Sebilangan rakan cuba menyertai usaha ini dengan memberi makanan seperti pasta, tetapi mereka yang datang sentiasa memilih makanan kami,” katanya.

Walaupun Melbourne mengenakan perintah berkurung dari Julai hingga Oktober, yang dilihat antara paling ketat di dunia, Cecilia berkata dia dan keluarganya mengharungi cuaca yang sejuk dan basah seperti biasa setiap minggu.

“Jujurnya, COVID-19 bukan penghalang untuk saya membantu golongan gelandangan setiap minggu.

“Musim sejuk amat mencabar bagi mereka. Matahari terbenam pada 5 petang dan anda akan lihat mereka kesejukan di luar.”

Katanya, dia mengenali pelanggan tetapnya dengan nama dan boleh mengesan sekiranya mereka tidak datang mendapatkan makanan. Mereka memanggilnya sebagai “Cece”.

Beliau berkata, tempoh tujuh bulan lalu membuka matanya mengenai realiti golongan gelendangan.

“Tidak sukar untuk berakhir menjadi gelandangan. Mereka mempunyai kisah di sebaliknya dan ia mengubah persepsi seluruh keluarga saya terhadap mereka. Saya sebelum ini melihat mereka sebagai golongan yang perlu dielak, seperti mereka kemungkinan tidak bersih atau kasar.

“Tetapi selepas berbual dengan mereka dan mendengar apa yang mahu disampaikan, anda akan mula memahami mereka. Mereka semua adalah manusia.”

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments