Monday, November 18, 2024
HomeBREAKING NEWSMenteri ambil langkah bantu ‘Puteri Ais’ negara

Menteri ambil langkah bantu ‘Puteri Ais’ negara

Peluncur ais C Sree Abiraame bersama-sama ibu bapanya. Atlet cilik ini kini menjalani latihan di Riga, Latvia.

PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican turun padang dengan menawarkan bantuan kepada peluncur ais berusia sembilan tahun C Sree Abiraame dalam usahanya bersaing di peringkat paling tinggi, iaitu Olimpik Musim Sejuk.

FMT sebelum ini melaporkan bagaimana bapa Sree, B Chendren Balakrishnan terpaksa menjual rumah, kereta dan mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) beliau bagi membiayai latihan anaknya itu di Riga, Latvia, bersama-sama ibunya Shyamala Ramachandran.

Reezal memuji kesungguhan Sree mengejar impian dan kejayaan yang dicapainya sehingga kini, termasuk memenangi empat pingat emas dan satu perak dalam kejohanan luncur ais antarabangsa Abu Dhabi ke-5 awal tahun ini.

“Saya akan arahkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) untuk segera membincangkan dan mengkaji bentuk bantuan dan sokongan yang boleh diberikan kepadanya dan sukan luncur ais umumnya.

“Dan juga penglibatan persatuan sukan kebangsaan/negeri serta akademi/pusat latihan tempatan yang menjadi tulang belakang pembangunan sukan ini,” katanya di facebook baru-baru ini.

Sree kini menjalani latihan di Akademi Luncur Ais Antarabangsa di Riga bersama-sama ibunya walaupun berdepan wabak Covid-19.

Chendren, yang merupakan seorang jurutera yang mempunyai firma perundingannya sendiri, terpaksa menggunakan wang simpanannya bagi memastikan Sree terus berada di gelanggang, sekali gus menyebabkan perniagaan beliau terganggu.

Katanya kepada FMT bahawa beliau akan terus membiayai latihan Sree, tetapi mengeluh beliau mungkin kehabisan wang tahun depan.

“Saya sangat berharap kementerian atau mana-mana pihak sudi membantu. Mereka tidak perlu membiayai latihan Sree sepenuhnya. Saya masih mampu menyediakan sebahagian daripada wang yang diperlukan setiap tahun, namun ia mahal,” katanya sebelum ini.

Keluarga tersebut melancarkan inistiatif pendanaan khalayak semalam bagi meneruskan latihan atlet itu dalam bentuk Yayasan Sree Abiraame. Ia dilancarkan pada hari lahirnya semasa sesi Zoom.

Semua derma dan tajaan boleh disalurkan ke akaun CIMB yayasan itu di 80-1046165-0.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments