Saturday, May 18, 2024
HomeBREAKING NEWSMenimbang buruk-baik kerjasama Umno-DAP

Menimbang buruk-baik kerjasama Umno-DAP

Seorang pemimpin Umno menjangka gabungan antara Umno dan PKR serta DAP ‘mungkin bukan idea yang buruk’.

PETALING JAYA: Kerjasama antara Umno dan DAP, jika berlaku, boleh menyumbang ke arah pembersihan ruang politik yang toksik, selain membantu memperbaiki hubungan kaum.

Namun kerjasama sedemikian hampir mustahil berlaku, kata bekas pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia.

“Cakap-cakap mengenai kerjasama itu mungkin hanya wayang,” kata penganalisis politik James Chin.

Kerjasama antara Umno dan PKR, termasuk DAP, ditimbulkan oleh Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed baru-baru ini.

Beliau berkata, ia bukan idea yang buruk kerana keperluan sebuah kerajaan berbilang kaum.

Azmi Hassan, bekas pensyarah UTM berkata, pentadbiran yang didominasi oleh kaum tertentu tidak baik untuk negara ini.

Kolaborasi antara Umno dan DAP, masing-masing sebagai parti yang mewakili pengundi luar bandar dan bandar, selain komuniti Melayu dan Cina, akan memaksa pertimbangan kaum mengundur ke belakang dan dasar menjadi keutamaan.

“Namun berdasarkan krisis politik Perak baru-baru ini, kolaborasi antara dua parti itu tidak mungkin berlaku dalam masa terdekat kerana Umno memilih untuk bekerjasama dengan PPBM dan PAS.

“Sementara itu cakap-cakap mengenai kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) akan hilang begitu sahaja,” kata Azmi.

Beliau berkata, akar umbi Umno dan DAP tidak senang dengan perkembangan itu.

Kerjasama Umno-PKR lebih mungkin berlaku. Namun jika PAS bekerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR), maka semua mungkin berlaku.

Bagaimanapun James Chin dari Institut Asia, Universiti Tasmania lebih pesimis, sekali gus menolak kemungkinan Umno bekerjasama dengan DAP.

“Saya fikir ia hanya wayang. Saya percaya Umno tidak mahu berada dalam Perikatan Nasional (PN), sebaliknya mahu mendominasinya dan dengan berkata mereka mempunyai pilihan, Umno cuba menekan PPBM.

“Tidak mungkin Umno akan bekerjasama PH kerana sebilangan anggotanya tidak boleh menerima Anwar Ibrahim dan lebih ramai yang tidak boleh menerima DAP.”

Beliau berkata, akar umbi kedua-dua parti tidak menyukai idea itu. Perjuangan Melayu Umno bercanggah dengan ideologi Malaysian Malaysia DAP.

Kerjasama juga tidak memberi manfaat kepada mana-mana parti kerana mereka tidak sesuai antara satu sama lain dan hanya akan melahirkan sebuah kerajaan disfungsi.

Pada dasarnya inilah yang berlaku kepada pentadbiran PH sebelum ini kerana PPBM berkongsi DNA yang sama dengan Umno.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments