Monday, September 16, 2024
HomeBREAKING NEWSMelahirkan ulat buku dalam kalangan penghuni penjara

Melahirkan ulat buku dalam kalangan penghuni penjara

Sebuah NGO mengutip buku untuk memupuk minat membaca dalam kalangan banduan.

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran bekerjasama dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melancarkan kutipan buku untuk institusi penjara di seluruh negara.

Rajiv berkata, aktiviti kutipan buku itu bermula hari ini hingga 8 Jan sebelum ia diedarkan ke beberapa penjara di negara ini, iaitu di Tapah, Taiping, Kemunting, Batu Gajah, Kajang, Melaka dan Sungai Buloh.

Inisiatif berkenaan juga dilanjutkan ke pusat pemulihan remaja.

Inisiatif berkenaan dimulakan oleh pengerusi Pertubuhan Kebajikan Sosial Sivasakthi, Anandao Rao sebelum ini.

Beliau kemudiannya berhubung dengan Rajiv bagi mendapatkan sokongan dan bantuan dalam usaha mengumpulkan lebih banyak bahan bacaan.

Ananda berkata, peningkatan jumlah banduan bermakna lebih banyak buku diperlukan.

“Tidak cukup bahan bacaan untuk semua orang,” katanya.

Bagi menyokong usaha itu, Rajiv mempelawa pengundi di kawasan pilihan rayanya supaya menderma bahan bacaan dengan meletakkan buku di pejabatnya.

Poster kutipan buku yang dilancarkan oleh ADUN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran.

“Kami terima derma buku daripada sesiapa dan dari mana-mana juga. Mereka boleh mengeposkannya, menghantarnya ke pejabat atau melalui perkhidmatan penghantaran,” katanya dalam sidang media atas talian.

Ditanya apakah jenis buku yang harus didermakan, Anand berkata, penderma digalakkan memberi buku bertema motivasi, agama dan bantuan kendiri serta majalah, tetapi menambah bahawa “apa-apa juga jenis buku diterima”.

Beliau berkata, buku yang didermakan akan diletakkan dalam perpustakaan kecil di penjara dan banduan diberikan 30 minit sehari untuk membaca.

“Dalam kes tertentu, ada banduan merupakan pelajar yang menduduki peperiksaan utama. Lebih banyak masa akan diberikan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Penjara maklum mengenai inisiatif itu dan telah meminta pentadbiran penjara mengurus perpustakaan berkenaan.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments