KOTA KINABALU: Naib Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Raymond Ahuar mempelawa parti atau Ahli Parlimen yang menentang kerajaan menyertai gabungan itu secara rasmi supaya rakyat lebih yakin dan jelas dengan perjuangan mereka.
Katanya, dengan penyatuan semua parti pembangkang dalam PH, akan menguatkan lagi gabungan itu untuk berdepan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) mahupun Muafakat Nasional (MN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Dalam kita ingin menubuhkan sebuah ‘gabungan besar’, biarlah ia melalui satu pakatan dengan satu hala tuju dan dasar sama kerana ini bagi mengelak oportunis yang mempunyai agenda tersembunyi memecahbelahkan pakatan sedia ada serta menyukarkan gerak kerja pilihan raya.
“Mengambil iktibar kegagalan Warisan Plus pada PRU14 iaitu sebelum UPKO tinggalkan BN dan kegagalan pada PRN (Pilihan Raya Negeri) lalu, lebih baik kita membentuk satu pakatan atau memperkukuhkan PH membabitkan parti atau Ahli Parlimen yang ingin bersama PH secara rasmi.
“Perkataan ‘Plus’ kepada PH akan memberi persepsi negatif kepada rakyat dan dilihat tidak ada hala tuju jelas dalam satu kesatuan, yang akhirnya menemui kegagalan seperti berlaku di Sabah,” katanya dalam kenyataan.
Raymond yang juga ketua Pemuda PKR Sabah berkata, penyertaan parti Pejuang, Warisan, UPKO, MUDA, Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Ahli Parlimen bebas dalam PH sepatutnya dibuat dari dulu supaya rakyat lebih yakin dengan gabungan berkenaan.
“Kita bakal berdepan bukan saja PRU malah PRN Sarawak bila-bila masa dan ini peluang untuk memperkukuhkan PH. Jika kita berterusan dengan satu gabungan besar yang hanya besar pada jumlah Ahli Parlimen namun dilihat tidak ada kesepakatan, kita pasti ditolak rakyat.
“Selain itu, jika pihak yang ingin bersama PH benar-benar ingin perjuangkan nasib rakyat dan mereformasikan sistem negara, saya pasti mereka ikhlas bersama dalam PH tanpa ingin melobi untuk menjadi ketua.
“Saya ingin merujuk kepada Dr Mahathir (Mohamad) yang sebelum ini bukan saja meninggalkan PH, malah menjadi punca utama tumbangnya kerajaan PH selepas cuba menubuhkan kerajaan tanpa PKR dan DAP serta membatalkan perjanjian peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim,” katanya.
Sementara itu, Raymond turut menegur tindakan Pemuda DAP dan Amanah yang membuat kenyataan bersama tanpa membabitkan Pemuda PKR, yang disifatkannya tidak menghormati pemuafakatan dalam PH.
“Begitu juga kenyataan oleh presiden Amanah dan setiausaha agung DAP tanpa membabitkan presiden PKR baru-baru ini. Saya setuju dengan kenyataan yang mana kita tidak perlu menuding jari mahupun meletakkan beban di bahu satu sosok selepas kegagalan menolak Belanjawan 2021.
“Ia perkara biasa bagi pembangkang kalah dalam undian di Parlimen kerana jika kita ada majoriti, kita bukanlah pembangkang,” katanya.