Wednesday, September 25, 2024
HomeBREAKING NEWSMalaysia meterai perjanjian peroleh 6.4 juta dos vaksin AstraZeneca

Malaysia meterai perjanjian peroleh 6.4 juta dos vaksin AstraZeneca

Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal, AstraZeneca bagi memperoleh 6.4 juta dos vaksin COVID-19, iaitu tambahan 10% lagi kepada bekalan vaksin yang bakal diterima negara.

Ini bermakna kerajaan kini memperoleh keseluruhan jaminan bekalan sebanyak 40%, termasuk menerusi dua perjanjian yang dimeterai sebelum ini dengan COVAX dan Pfizer.

Menerusi perjanjian yang ditandatangani dengan COVAX dan Pfizer, Malaysia dijadualkan menerima bekalan yang meliputi 30% rakyat.

“Kerajaan juga dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino, dan Gamaleya bagi mendapatkan tambahan jaminan bekalan vaksin melebihi 80% jumlah populasi negara atau 26.5 juta,” katanya menerusi video berhubung perkembangan terkini isu itu yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Kerajaan sebelum ini mensasarkan untuk memastikan liputan vaksin kepada 70% rakyat.

Perdana menteri berkata melalui semua rundingan dan perjanjian yang telah dan akan dimeterai setakat ini, kerajaan akan membelanjakan keseluruhan USD504.4 juta (RM2.05 bilion).

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata perjanjian dengan Sinovac, CanSino, dan Gamaleya juga akan memberi nilai tambah kepada sektor sains dan teknologi tempatan yang bakal memberi pulangan kepada rakyat serta pembangunan negara.

“Ini termasuklah melakukan proses pembotolan vaksin dalam negara, penyelidikan dan pembangunan, serta perkongsian pengetahuan dan pemindahan teknologi,” katanya.

Kerajaan akan terus mengadakan rundingan dengan syarikat-syarikat farmaseutikal lain bagi memastikan negara mempunyai jaminan akses bekalan vaksin mencukupi.

“Vaksin yang diperoleh ini akan dipastikan selamat dan berkesan,” tegas beliau.

Perdana menteri berkata kerajaan sedar usaha mencegah pandemik COVID-19 daripada terus menular adalah penting bagi memastikan keadaan ekonomi rakyat dan negara dapat dibaik pulih pada kadar segera.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments