KUALA TERENGGANU: Kementerian Kesihatan belum menerima sebarang laporan penularan varian baharu virus COVID-19 dari United Kingdom (UK) di Malaysia, yang dikatakan merebak lebih cepat dan meluas.
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata sekiranya terdapat laporan berkaitan virus berkenaan, jujukan genome akan dilakukan bagi mengenal pasti kehadiran varian selain mengambil tindakan mencegah perebakannya.
“Malaysia masih belum buka sempadan negara sepenuhnya kerana kita bimbang kes-kes COVID-19 dari luar negara seperti ini berlaku. Setakat ini, beberapa negara seperti Arab Saudi dan Jerman sudah menggantung penerbangan dari UK disebabkan varian baharu virus itu.
“Dulu, Malaysia pernah berdepan Kluster Sivagangga dengan mutasi jenis D614G itu menyebabkan Covid-19 lebih mudah berjangkit. Sebab itu, kawalan sempadan negara sangat penting ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah.
Turut hadir EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr Alias Razak, dan Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata varian baharu itu atau nama saintifiknya VUI 202012/01 didapati mempunyai tahap jangkitan lebih tinggi iaitu sebanyak 20%.
Sementara itu, Adham memuji tindakan pantas serta kerjasama antara kerajaan Terengganu dan petugas barisan hadapan negeri itu dalam mengasing dan merawat individu dikesan positif COVID-19 serta kontak rapat pesakit.
“Tindakan itu sangat berkesan dalam mengawal COVID-19 di Terengganu dan tahap pematuhan penduduk juga sangat baik. Program Pengurangan Risiko Daerah (DRCP) yang dijalankan juga terbukti berjaya memastikan tiada zon merah COVID-19 di Terengganu setakat ini.
“Program COMBI (Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku) dan KOSPEN (Komuniti Sihat Perkasa Negara) juga digerakkan untuk mendidik komuniti agar terus mengamalkan SOP bagi mengekang penularan COVID-19 secara berterusan,” katanya.