Tuesday, April 23, 2024
HomeBREAKING NEWSMahkamah benarkan kerajaan, KTMB masuk tapak KVDT2 dengan akses terhad

Mahkamah benarkan kerajaan, KTMB masuk tapak KVDT2 dengan akses terhad

Mahkamah Tinggi turut membenarkan perintah injunksi sementara yang diperolehi Dhaya Maju LTAT bagi menghalang kerajaan dan KTMB mengeluarkan arahan agar syarikat itu menghentikan kerja di tapak projek itu, dilanjutkan sehingga 7 Jan 2021.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi membenarkan kerajaan dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memasuki trek aktif tapak projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) dengan akses terhad.

Seorang peguam dari firma guaman Skrine yang mewakili kontraktor projek itu, Dhaya Maju LTAT, berkata perintah itu diberikan Hakim Lim Chong Fong semasa pengurusan kes saman yang difailkan syarikat berkenaan terhadap kerajaan, KTMB, Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong dan sebuah syarikat perkhidmatan perundingan kejuruteraan, iaitu Opus Consultants (M) Sdn Bhd.

Beliau berkata, mahkamah turut membenarkan perintah injunksi sementara yang diperoleh Dhaya Maju LTAT bagi menghalang kerajaan dan KTMB mengeluarkan arahan agar syarikat itu menghentikan kerja di tapak projek tersebut, dilanjutkan sehingga 7 Jan 2021.

“Injunksi sementara itu akan dilanjutkan sehingga 7 Jan 2021 dengan sedikit perubahan yang membenarkan kerajaan dan KTMB akses kepada trek aktif bagi menjalankan kerja penyelenggaraan dan pembaikan,” katanya yang meminta agar namanya dirahsiakan.

Pada 2 Nov lalu, mahkamah membenarkan permohonan Dhaya Maju LTAT untuk mendapatkan perintah injunksi sementara, yang pada asalnya berkuat kuasa sehingga 12 Dis ini, atau tarikh selanjutnya sebagaimana diarahkan mahkamah.

Syarikat itu turut diberikan perintah injunksi sementara bagi menghalang kerajaan dan KTMB memasuki tapak projek KVDT2 serta mengarahkan ia mengosongkan tapak terbabit serta injunksi sementara bagi menghalang KTMB membatalkan Pemakluman Milik Tapak sehingga 12 Dis ini.

Peguam itu berkata, mahkamah menetapkan 7 Jan depan sebagai pengurusan kes di depan Lim.

Semasa pengurusan kes hari ini melalui aplikasi Skype, peguam Ashok Ranai, R Loshini, S Tatvaruban dan R Laarnia dari Skrine mewakili Dhaya Maju LTAT, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Asliza Ali bagi pihak kerajaan dan Wee, Hee Hui Ting mewakili Opus Consultants serta Sean Yeow dan Lim Bee Sie mewakili KTMB.

Dhaya Maju LTAT, yang terlibat dalam pertikaian dengan kerajaan dan Wee susulan penamatan kontraknya bagi projek KVDT2 pada 23 Sept lalu memfailkan saman itu pada 27 Okt lalu.

Penyataan tuntutan syarikat itu antara lain mendakwa sehingga kini, notis rasmi penamatan kontrak yang disemak semula belum disampaikan kepadanya dan ia sama sekali tidak mengetahui pembatalan itu yang dilakukan menerusi siaran akhbar oleh Wee dan hanya mengetahuinya buat pertama kali menerusi media.

Selain ganti rugi, Dhaya Maju LTAT, iaitu syarikat usaha sama antara Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang diperbadankan pada 5 Jun 2017 di bawah Akta Syarikat 2016, memohon deklarasi penamatan kontrak yang disemak semula ialah pelanggaran perjanjian penyelesaian, tidak sah dan menyalahi undang-undang.

Pertikaian timbul selepas Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz mengeluarkan senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang dianugerahkan secara rundingan terus semasa pentadbiran Pakatan Harapan dan ini termasuk projek KVDT2 bernilai RM4.475 bilion yang dianugerahkan kepada Dhaya Maju LTAT.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments