Saturday, September 21, 2024
HomeBREAKING NEWS‘Lorong tikus’ kaut untung besar

‘Lorong tikus’ kaut untung besar

Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi Beras (Padi Rescue) berkata menyeludup masuk melalui ‘lorong-lorong tikus’ di sempadan negara antara taktik sindiket. (Gambar fail)

KUALA LUMPUR: Beli pada harga murah dari negara luar seperti Thailand dan Vietnam, bawa seludup masuk melalui ‘lorong-lorong tikus’ di sempadan negara, kemudian menjual kembali pada harga standard beras import iaitu sekitar RM2.60 sekilogram ke atas.

Itu antara taktik yang diguna pakai sindiket beras seludup atau tidak sah dari negara luar.

“Melalui penjualan secara haram ini juga mereka mampu mengaut keuntungan besar,” kata Ketua Koordinator Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi Beras (Padi Rescue) Nurfitri Amir Muhammad.

Isu penyeludupan beras dari luar negara bukanlah sesuatu yang baharu sebaliknya banyak laporan media sebelum ini membongkar modus operandi kegiatan sindiket berkenaan.

Menurut laporan portal berita tempatan sekitar awal tahun ini, harga beras seludup dari Thailand mencecah sehingga RM48 bagi setiap pek beras 10 kilogram, iaitu peningkatan RM16 daripada harga biasa.

Mengulas lanjut Nurfitri Amir berkata melalui sumber maklumat yang diterima, sindiket terlibat turut membawa masuk beras seludup menerusi kapal-kapal kontena di pelabuhan dengan menggunakan Permit Import (AP).

“Sumber maklumat turut mendakwa dengan menggunakan satu AP, sindiket boleh membawa masuk barang secara berlebihan dan ini biasanya berlaku di pelabuhan dan pintu sempadan.

“Bagaimana sindiket ini secara berleluasa boleh menjual beras ‘haram’ dalam pasaran negara dengan jumlah yang banyak? Secara logiknya agak mustahil untuk mereka menjual kepada pengguna selain di pasar raya, kedai runcit dan vendor,” katanya sambil menambah komoditi import itu kini dijual secara terbuka di pasaran.

Turut berkongsi pandangan, Ahli Majlis Profesor Negara, Mohd Fauzi Mohd Jani berkata, selagi sindiket penyeludupan beras secara haram tidak ditangani, selagi itulah kedudukan keselamatan negara akan terancam kerana mengundang gangguan ekosistem dan pendapatan golongan pesawah padi.

“Mengapa kita perlu segera membanteras habis-habisan sindiket ini? Melihat kepada situasi semasa pandemik COVID-19 yang kita sendiri tidak tahu bila akan berakhir, kebanyakan negara pengeluar dan pengeksport beras akan ‘bermain’ secara selamat bagi memastikan bekalan beras untuk rakyat mereka mencukupi berikutan perdagangan antarabangsa yang terbatas.”

Ujarnya, pendapatan pesawah terjejas akibat sindiket seludup beras yang memanipulasi pasaran jualan beras apabila menjualnya di kedai runcit kecil dan pasar malam pada harga jauh lebih rendah berbanding harga beras tempatan.

Sementara itu, penganalisis jenayah, Akhbar Satar berkata insiden penyeludupan yang berlaku turut berkait rapat dengan integriti dan ketirisan dalam kalangan anggota yang bertugas.

“Kita baru bercakap soal beras dan barang subsidi negara yang diseludup, belum isu besar seperti seludup dadah, pemerdagangan manusia dan senjata api. Bagi saya masalah ini amat besar dan memerlukan penyelesaian holistik kerana kesan dan bahayanya kepada negara.

“Kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) diharap dapat terus mempertingkat usaha menaik taraf kaedah pemantauan di sempadan.

“Zaman sekarang dah ada teknologi dron yang boleh membantu agensi penguat kuasa. Selain penggunaan kamera litar tertutup (CCTV), mungkin boleh cari alternatif lain untuk kita pantau ataupun tutup semua ‘laluan tikus’ yang wujud di sempadan negara khususnya di sempadan Malaysia dan Thailand,” katanya.

Selain mencadangkan pihak berkuasa menempatkan pegawai yang berintegriti tinggi di kawasan berisiko tinggi diceroboh termasuk di sempadan, beliau berpendapat pertukaran pegawai setiap tiga tahun sekali wajar dilakukan bagi mengelak risiko terpengaruh dengan amalan tidak sihat seperti rasuah.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments