Wednesday, November 27, 2024
HomeBREAKING NEWSLori taugeh seludup dadah ke Malaysia

Lori taugeh seludup dadah ke Malaysia

Kira-kira 15kg dadah disembunyikan di dalam dua lori yang didaftarkan di Malaysia, melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands.

SINGAPURA: Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura menggagalkan dua cubaan berasingan untuk menyeludup kira-kira 15kg dadah disembunyikan di dalam dua lori yang didaftarkan di Malaysia, melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Dua pemandu warga Malaysia berumur 38 dan 44 tahun ditahan dan dibawa ke Biro Narkotik Pusat (CNB) untuk siasatan, kata pihak berkuasa itu dalam kenyataan bersama.

Pada 18 Dis lalu, sebuah lori yang didaftarkan di Malaysia membawa bungkusan tauge dirujuk pegawai ICA untuk pemeriksaan lanjut dan mendapati tujuh bungkusan dadah terkawal mengandungi kira-kira 4,622g heroin serta 521g dadah jenis ‘ice’ (syabu) di dalam lori tersebut.

Sementara itu, kes kedua pada 21 Dis melibatkan sebuah lori yang membawa perabot dan alat ganti kenderaan. Pegawai yang memeriksa kenderaan berkenaan dilaporkan merasa curiga apabila mengesan sesuatu yang ganjil dalam imej imbasan X-ray bungkusan yang diisytiharkan sebagai ‘barangan peribadi’.

Hasil pemeriksaan lanjut, pegawai ICA menemukan bungkusan mengandungi 4,368g syabu, 5,110g kanabis, 4,900 biji pil ekstasi dan 4,750 biji pil Erimin 5 yang disembunyikan di dalam perabot itu.

Penemuan dadah di pusat pemeriksaan itu membawa kepada operasi penguatkuasaan antidadah oleh CNB di beberapa lokasi di republik ini, menurut kenyataan itu.

Sebanyak 4,622g heroin, 5,393g syabu, 5,482g kanabis, 247g ketamin, 5,111 biji pil ekstasi dan 5,383 biji pil Erimin 5 yang kesemuanya bernilai hampir S$2.3 juta berjaya dirampas.

Kenyataan itu memberitahu tujuh suspek berkaitan kesalahan dadah, terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita berumur 20 hingga 55 tahun ditahan.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments