Sunday, July 7, 2024
HomeBREAKING NEWSLetak semua sungai di bawah kerajaan pusat, kata pakar

Letak semua sungai di bawah kerajaan pusat, kata pakar

Kerajaan Kedah dan Pulau Pinang berbalah mengenai sumber air di Sungai Muda yang bersempadanan dengan dua negeri itu.

PETALING JAYA: Seorang pencinta alam sekitar menyeru pemilikan sungai dipindahkan daripada kerajaan negeri kepada kerajaan pusat.

K Kalithasan, pengurus penjagaan sungai untuk Pusat Alam Sekitar Global, berkata menjadikan sungai sebagai aset negara akan mengakhiri pertikaian antara negeri mengenai sumber air dan memastikan ia dapat dilindungi dengan lebih baik.

Katanya, sungai dan tadahan air ialah sumber bersama serta perlu dijaga agensi sehenti seperti Suruhanjaya Sungai Mekong.

Suruhanjaya itu, terdiri daripada kerajaan Kemboja, Laos, Vietnam dan Thailand, menguruskan Sungai Mekong yang mengalir melalui negara terbabit.

Kawalan ke atas air sungai menjadi tumpuan pertikaian antara kerajaan Pulau Pinang dan Kedah mengenai rancangan melombong elemen nadir bumi di kawasan Ulu Muda, Kedah yang merupakan kawasan tadahan air untuk negeri itu, Pulau Pinang serta Perlis.

Kalithasan berkata, agensi sehenti sungai mesti diketuai kerajaan pusat, tetapi dianggotai kerajaan negeri, yang mempunyai alasan ekonomi sah untuk mengeksploitasi sumber yang boleh menjejaskan kawasan tadahan air.

Katanya, kerajaan negeri memerlukan wang; dengan melindungi kawasan tadahan air, mereka terlepas peluang untuk menjana wang, sementara negeri lain mendapat manfaat daripada penggunaan air tersebut.

Beliau berkata, semua negeri perlu berkongsi beban melindungi kawasan tadahan air, dan meletakkan sumber air di bawah kawalan persekutuan akan membolehkan Putrajaya memberi pampasan kepada negeri untuk memelihara kawasan tadahan air terbabit.

Chai Ngai Weng, pakar dalam pengurusan sumber air dari Universiti Sains Malaysia juga menyeru penubuhan sebuah agensi untuk mengawal sungai.

“Apabila dua atau lebih agensi terlibat, pengurusan menjadi bermasalah kerana persaingan antara agensi, pertindihan tanggungjawab, perlindungan kepentingan diri dan masalah lain.

“Inilah yang berlaku di Malaysia sekarang. Walaupun Jabatan Pengairan dan Saliran adalah pengurus sungai yang sah di Malaysia, agensi lain juga mempunyai kuasa membuat keputusan, dengan masalah paling serius ialah sungai dan tadahannya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya sambil menambah dengan adanya agensi tunggal, perselisihan mengenai air dapat dikurangkan.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments