PETALING JAYA: Seorang pakar pengangkutan, ahli ekonomi dan ketua kumpulan perniagaan meramalkan projek Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) bakal meningkatkan ekonomi Malaysia selepas siap dibina.
Perunding perancangan pengangkutan, Rosli Azad Khan berkata, manfaat segera daripada kedua-dua lebuh raya itu adalah waktu perjalanan lebih singkat, membolehkan pengguna menjimatkan kos perjalanan.
“Dalam kes SUKE, ini adalah jalan pintas yang berguna kerana pengguna tidak perlu melalui lingkaran jalan Kuala Lumpur yang selalunya sesak dan memakan masa,” katanya kepada FMT.
Walaupun pengguna perlu membayar tol, Rosli berkata, caj tambahan kecil itu mungkin tidak terlalu menjejaskan pengguna jalan raya.
Katanya, masa perjalanan lebih singkat bermaksud sistem logistik lebih berkesan, di mana ekonomi negara bergantung padanya.
“Semakin rendah kos agihan, terutamanya untuk barangan dan perkhidmatan, semakin baik dan produktif sistem logistik itu. Jalan yang selalu sesak tidak akan menyumbang secara berkesan kepada ekonomi negara,” katanya.
Ahli ekonomi, Geoffrey Williams bersetuju dengan berkata, pelaburan prasarana seperti SUKE dan DASH pada umumnya setara dengan pertumbuhan ekonomi, kerana ia menambah nilai kepada tanah di sekitar lebuh raya itu.
Katanya, laluan pengangkutan mempunyai kesan positif yang ketara ke atas negara dalam jangka panjang, terutamanya bagi masyarakat setempat dan golongan berpendapatan rendah.
“Kawasan di sekitar jalan baru dapat digunakan untuk mendirikan perniagaan baru yang mendapat manfaat daripada akses mudah ke laluan pengangkutan dan boleh menjadikan kawasan perumahan lebih menarik kerana kurang terpencil dan lebih mudah.”
Namun, beliau memberi amaran keuntungan daripada lebuh raya terbabit perlu “diseimbangkan dengan impak pencemaran alam sekitar” dan peningkatan pelepasan karbon.
Michael Kang, presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia, berkata prasarana yang dirancang dengan baik seperti jalan raya dan menara telekomunikasi sangat penting dalam membantu perniagaan mikro.
Katanya, prasarana yang baik selalu dibuat untuk hubungan lebih baik antara pelanggan dan perniagaan, serta logistik operasi lebih cekap.
Kedua-dua lebuh raya itu dibina Kumpulan Syarikat Prolintas dan akan menjadi sebahagian lingkaran jalan baru yang akan memudahkan pergerakan pengguna jalan raya antara bandar dan pusat bandar.
Selain menghubungkan lebih 100 lokasi berkepadatan tinggi, SUKE dan DASH menawarkan sistem penyuraian trafik yang berkesan dan, paling penting, akan mempromosikan aktiviti ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.