Friday, January 10, 2025
HomeBREAKING NEWSLebih baik Chong tumpu tugas di Port Klang berbanding feri Pulau Pinang,...

Lebih baik Chong tumpu tugas di Port Klang berbanding feri Pulau Pinang, kata Loke

Bekas menteri pengangkutan Loke Siew Fook menggesa Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon menumpukan tugas di Port Klang daripada mencampuri isu berkaitan feri Pulau Pinang.

PETALING JAYA: Bekas menteri pengangkutan, Loke Siew Fook menggesa Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon menumpukan tugas menjaga Port Klang daripada mencampuri isu berkaitan feri Pulau Pinang.

Beliau berkata, ini kerana isu feri Pulau Pinang itu tidak mempunyai kaitan dengan Chong.

“Isu feri Pulau Pinang sebenarnya tak ada kena mengena dengan orang ini (Chong).

“Selepas menghilangkan diri hampir 2 tahun sejak ditolak oleh pengundi di Parlimen Seremban pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu, dia (Chong) dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang oleh bosnya yang memasuki Kementerian Pengangkutan melalui ‘pintu belakang’,” katanya di Facebook, merujuk kepada Presiden MCA Wee Ka Siong.

Semalam Chong berkata, Loke pernah membuat kenyataan mahu melaksanakan perkhidmatan teksi air atau “catamaran boat” untuk menggantikan sebahagian daripada perkhidmatan feri Pulau Pinang pada tahun ini semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Chong juga berkata, rakyat sudah bosan dengan cara Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mempolitikkan semua isu di negara ini.

Dalam pada itu Loke berkata, Chong perlu menyelesaikan masalah lambakan kargo di Westport sebelum membicarakan isu lain.

“Kalau dia belum faham apa yang saya umumkan pada tahun 2019, baca secara teliti dalam laporan ini,” katanya sambil memetik laporan Astro Awani berhubung pengumumannya untuk menaik taraf feri Pulau Pinang semasa menjadi menteri pengangkutan sebelum ini.

Pada 23 Ogos tahun lepas, Loke memberi komitmen bahawa projek menaiktaraf sistem perkhidmatan feri Pulau Pinang akan mula dilaksanakan tahun ini.

Loke berkata, projek menaik taraf feri di bawah Syarikat Prasarana Malaysia (Prasarana), termasuk pelan memperkenalkan bot jenis catamaran,n selain mewujudkan feri pelancongan di Pulau Pinang.

Semalam, Lim Guan Eng berkata, pembatalan perkhidmatan feri Pulau Pinang merupakan konfrontasi terbuka kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap rakyat negeri itu yang diketuai oleh MCA dan Wee.

Lim berkata, MCA dan Wee tidak akan dimaafkan atau dilupakan oleh rakyat Pulau Pinang kerana “politik balas dendam” itu.

Pada 24 Dis, Putrajaya dilaporkan memberi jaminan bahawa perkhidmatan feri Pulau Pinang akan diteruskan dengan menawarkan perkhidmatan yang lebih moden untuk keselamatan dan keselesaan penumpang.

Wee berkata, beberapa pihak menyuarakan kekesalan atas keputusan untuk menyediakan perkhidmatan feri yang lebih selamat, cepat dan mengurangkan kos penyelenggaraan yang kian meningkat disebabkan faktor feri berusia 47 tahun yang perlu diselenggara secara purata sebulan sekali.

Feri Pulau Pinang yang berusia 126 tahun adalah perkhidmatan feri tertua di negara ini dan juga perkhidmatan feri lintas selat pertama antara Pulau Pinang dan tanah besar bermula pada tahun 1894.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments