Tuesday, April 16, 2024
HomeBREAKING NEWSLanggar syarat: Apa status bebas cukai Zoo Negara?

Langgar syarat: Apa status bebas cukai Zoo Negara?

Satu senarai pelanggaran dikeluarkan LHDN pada 2018 menunjukkan antara 2014 dan 2016, zoo membayar faedah kewangan melebihi RM1.4 juta kepada pelbagai pihak ketiga yang tidak disebutkan nama.

PETALING JAYA: Persoalan timbul mengenai status bebas cukai Zoo Negara berikutan satu laporan audit oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 2018, yang menunjukkan berlaku pelanggaran bernilai lebih RM1 juta selama tiga tahun.

Menurut dokumen yang dilihat FMT, status bebas cukai zoo berada dalam risiko untuk ditamatkan kerana pelanggaran syarat dikenakan oleh pihak berkuasa hasil untuk pengecualian cukai.

Ketika ditanya, Persatuan Zoologi Malaysia (MZS), yang mengendalikan zoo dilaporkan bermasalah dari segi kewangan itu, menolak untuk mengesahkan atau menafikan dokumen tersebut, atau menjelaskan statusnya yang dikecualikan cukai berkenaan.

“Zoo Negara tidak akan memberi respons kepada perkara ini kerana kami sudah menjawab secara rasmi kepada LHDN,” kata MZS dalam jawapan ringkas kepada FMT.

Senarai semua organisasi bebas cukai tersedia secara terbuka di laman web LHDN. MZS, bagaimanapun, kini tidak muncul di pangkalan data itu.

Satu senarai pelanggaran dikeluarkan LHDN pada 2018 menunjukkan antara 2014 dan 2016 zoo membayar faedah kewangan melebihi RM1.4 juta kepada pelbagai pihak ketiga yang tidak disebutkan nama.

Dokumen itu menyatakan pembayaran terbabit “melanggar syarat untuk mendapat kelulusan kerana penerima tidak berhak menerima faedah daripada institusi itu.” Ia juga memberi amaran pembayaran tersebut “boleh menyebabkan penyalahgunaan dana.”

Ia juga mendakwa zoo terbabit membelanjakan lebih RM140,000 untuk aktiviti luar negara tanpa mendapat persetujuan menteri dalam tempoh sama.

Bagi 2015 dan 2016, dokumen itu juga menyatakan zoo “gagal menyerahkan akaun (yang diaudit)” ke jabatan tersebut.

Dalam jawapan kepada FMT, LHDN tidak menyebut dakwaan itu secara langsung tetapi mengesahkan, MZS “telah mendapat kelulusan pengecualian cukai oleh kerajaan sejak 1962 untuk mendukung objektifnya dalam pemuliharaan fauna dan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan ilmu zoologi.”

Namun, katanya, kelulusan pengecualian cukai tidak bersifat kekal, dan ia tertakluk kepada audit kepatuhan dilaksanakan untuk memastikan organisasi mematuhi peraturan dan garis panduan LHDN dan Akta Cukai Pendapatan 1967.

Ia bagi memastikan “dana yang dikumpul sebagai hasil sumbangan awam dan (daripada) pembayar cukai tidak disalahguna untuk tujuan peribadi dan mengakibatkan kerugian cukai kepada kerajaan.”

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments