LONDON: Varian baharu dan berpotensi lebih mudah berjangkit virus korona yang mengakibatkan Covid-19 ditemui di Britain, dalam kes yang dikaitkan dengan Afrika Selatan, kata Menteri Kesihatan Matt Hancock.
Jabatan kesihatan Afrika Selatan minggu lalu berkata, mutasi genetik baharu virus itu dikenal pasti dan mungkin menjadi punca lonjakan kadar jangkitan di negara itu.
“Disebabkan keupayaan genom menakjubkan Afrika Selatan, kita mengesan dua kes satu lagi varian virus korona di UK,” katanya dalam sidang media semalam.
“Kedua-duanya kes kontak yang datang dari Afrika Selatan dalam tempoh beberapa minggu lalu.”
Britain sedang bergelut mengekang penularan satu strain mutasi virus yang dilaporkan 70% lebih mudah berjangkit, dan kajian lanjut sedang dijalankan terhadap varian terbaharu ini.
“Varian terbaharu ini amat membimbangkan kerana lebih mudah berjangkit dan nampaknya bermutasi lebih lagi daripada varian yang baru-baru ini ditemui di UK,” katanya.
Kontak rapat mereka yang dijangkiti varian baharu itu, selain sesiapa yang berada di Afrika Selatan dalam tempoh dua minggu lalu, atau berkontak rapat dengan orang yang pergi ke situ, mesti menjalani kuarantin, katanya.
Sekatan segera kini akan dikenakan untuk pengembara dari Afrika Selatan, tambahnya.
Negara di seluruh dunia kebelakangan ini menutup sempadan kepada Britain dan Afrika Selatan susulan varian baharu virus korona yang lebih mudah berjangkit dikenal pasti minggu lalu.
“Jadi varian baharu di UK yang sudah dikenal pasti sangat berbeza daripada yang dikesan di Afrika Selatan, mutasinya berbeza,” kata Susan Hopkins dari Public Health England.
“Kedua-duanya nampak lebih mudah berjangkit. Kami mempunyai lebih banyak bukti bagi transmisi bagi varian UK kerana menelitinya secara mendalam bersama rakan akademik.
“Kami masih membuat kajian terhadap varian Afrika Selatan itu.”
Beliau menyatakan keyakinan bahawa penyebaran varian Afrika Selatan itu mampu dikawal malah vaksin yang sudah dihasilkan mampu mengekangnya.
“Setakat ini tiada tanda-tanda yang vaksin itu tidak akan berkesan, malah bukti kukuh menunjukkan vaksin berkenaan tetap berkesan kerana menghasilkan respons imun kuat selain mampu bertindak terhadap pelbagai variasi dalam virus itu,” katanya.