PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mempertimbangkan untuk kuarantin pesakit COVID-19 di rumah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun buat masa ini dasar kerajaan masih sama, iaitu menjalankan kuarantin pesakit COVID-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan hospital.
“Kalau nak laksanakan, ada beberapa kriteria kena patuhi. Pertama kena lihat nilai kesesuaian rumah dan juga bilik air.
“Kedua kena lihat kepada “health assessment tool” dan ketiga lihat petugas kesihatan memantau seseorang itu di rumah,” katanya pada sidang media hariannya hari ini.
Noor Hisham berkata, KKM hanya melihat kepada kemungkinan itu, tetapi tidak mengubah dasar kuarantin pesakit COVID-19 di hospital dan PKRC.
Dalam pada itu Noor Hisham berkata, sebilangan besar pesakit COVID-19 yang menunggu untuk dipindahkan dari rumah ke hospital berada di Lembah Klang.
Beliau berkata, walaupun tidak dapat memberikan jumlah yang tepat, tetapi penangguhan pemindahan pesakit terbabit disebabkan oleh peningkatan jumlah pesakit COVID-19.
“Bila peningkatan pesakit mungkin dari segi logistik (sukar) hantar pesakit dari rumah ke hospital.
“Kami menasihatkan pesakit untuk tinggal di rumah, mengasingkan diri dan menunggu sehingga pihak hospital datang dan memindahkan mereka ke hospital,” katanya
Beliau berkata, pesakit tidak harus bercampur dengan ahli keluarga mereka.
Katanya, pada waktu ini terdapat kira-kira 6,000 katil untuk pesakit pekerja asing di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) di Serdang dan jumlahnya akan ditambah kepada 10,000.