Sunday, May 19, 2024
HomeBREAKING NEWSKKM sahkan lebih 20 petugas, pesakit Hospital Serdang kena COVID-19

KKM sahkan lebih 20 petugas, pesakit Hospital Serdang kena COVID-19

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata semua mereka dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan susulan.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan mengesahkan sebanyak 29 petugas kesihatan dan 28 pesakit dari Hospital Serdang, Selangor dijangkiti COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semua mereka dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan susulan.

“Siasatan oleh pasukan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan Hospital Serdang dapat mengenalpasti punca jangkitan dan tindakan kawalan dilaksanakan serta merta bagi membendung penularan jangkitan ini.

“Pengurusan rawatan pesakit di Hospital Serdang masih diteruskan dan berada dalam keadaan terkawal,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, JKNS mengesahkan seramai 50 petugas kesihatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dijangkiti COVID-19 dan kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Dalam pada itu, Hisham berkata, setakat hari ini seramai 280 petugas sedang menerima rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil dengan kadar sembuh sebanyak 84.2%.

“Manakala seramai 1,697 petugas kesihatan di seluruh negara sedang menjalani perintah pemerhatian dan pengawasan sama ada di tempat kediaman atau di stesen kuarantin.”

Beliau berkata, hospital di Lembah Klang yang melaporkan kes jangkitan COVID-19 tertinggi adalah daripada Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (54 kes), Hospital Serdang (29 kes), Hospital Sungai Buloh (15 kes), Hospital Kuala Lumpur (10 kes), Hospital Ampang (5 kes), dan Hospital Selayang (4 kes).

“Peningkatan kes yang mendadak dalam kalangan petugas kesihatan di negeri-negeri Lembah Klang adalah dipercayai berkait rapat dengan peningkatan kes dalam kalangan komuniti,” katanya.

Secara kumulatif, katanya, terdapat 1,771 kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan petugas kesihatan setakat hari ini dengan jururawat merekodkan jangkitan tertinggi dalam kalangan kategori petugas perubatan iaitu 690 kes.

“Sebanyak 1,359 (76.7 peratus) kes tersebut berlaku semasa gelombang ketiga pandemik COVID-19, termasuk 43 kes baharu yang dilaporkan pada hari ini.”

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments