Saturday, May 18, 2024
HomeBREAKING NEWSKisah di sebalik Restoran Kari Kepala Ikan Hj Isenin di Semabok Melaka

Kisah di sebalik Restoran Kari Kepala Ikan Hj Isenin di Semabok Melaka

Kari kepala ikan Hj Isenin yang popular di Samabok Melaka. (Gambar Hairman)
Restoran Kari Kepala Ikan Hj Isenin yang sering menjadi pilihan pelanggan. (Gambar Hairman)

Restoran Hj Isenin yang terletak di Kilometer 4, Kampung Semabok diasaskan oleh Tuan Hj Isenin bin Saleh bersama isterinya Hajah Aminah binti Abdullah.

Pada awalnya, Hj Isenin membina sebuah gerai pondok pada tahun 1977 yang diperbuat daripada zink dan papan terpakai. Segalanya serba kekurangan, tiada kemudahan air dan elektrik. Kayu api merupakan sumber utama yang digunakan untuk memasak.

Namun, kecekalan dan ketabahan pasangan ini telah berjaya menubuhkan Restoran Kari Kepala Ikan Hj Isenin seperti yang ada pada hari ini.

Penubuhan awal

Hairman dan Allahyarham Hj Isenin bersama Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi yang singgah makan di restorannya. (Gambar Hairman)

Hj Isenin bermula pada sekitar 1977 dengan menjual juadah sarapan pagi seperti roti canai kayu arang dan nasi lemak di gerainya di samping beberapa jenis lauk untuk makan tengah hari seperti nasi putih, ayam goreng, asam pedas ikan pari, sayur tauge, telur goreng serta beberapa lagi lauk-pauk yang mudah dan ringkas.

Manakala, minuman seperti teh cina diberikan secara percuma kepada pelanggan yang berkunjung untuk makan di sini.

Asam pedas dan rojak yang sering menjadi pilihan pelanggan. (Gambar Hairman)

Berbekalkan sedikit wang modal yang dipinjamkan oleh seorang kenalan rapat, keluarga ini mula bergiat secara aktif berniaga secara kecil-kecilan.

Gerai Hj Isenin ini kemudian telah beberapa kali diarahkan berpindah di sekitar kawasan berdekatan dengan kampung Semabok.

Ini adalah untuk memberi laluan kepada pembinaan gerai 12 pintu MBMB pada tahun 1980-an yang dibina bersebelahan tapak asal gerai makan Hj Isenin.

Idea kari kepala ikan

Waris Hj Isenin yang menguruskan restoran, dari kiri: Hajah Aminah bt Abdullah (isteri pertama), Norhalimah bt Sufian (isteri kedua) dan Adnan bin Isenin (anak). (Gambar Hairman)

Perih getir membesarkan sembilan orang anak memberi keazaman yang membara kepada pasangan ini demi melihat kesemua anak-anaknya dapat hidup senang seperti kanak-kanak lain.

Hj Isenin memberanikan diri mengorak langkah menyewa gerai MBMB yang ditawarkan dan mula mencuba pelbagai jenis menu demi mencari kelainan yang dapat memikat hati dan menepati selera para pelanggannya.

Pada tahun 1986, Hj Isenin mula memperkenalkan menu kari kepala ikan kepada pelanggannya.

Hj Hairman dan abangnya Adnan bersama Mohd Faizal, pelanggan tetapi restoran tersebut. (Gambar Hairman)

Pandangan dan kritikan yang diterima daripada para pelanggan memberikan idea kepadanya untuk menghasilkan cita rasa kari kepala ikan yang dapat memenuhi selera dan cita rasa pelbagai kaum yang berkunjung ke gerainya.

Semenjak dari itu, menu kari kepala ikan menjadi tarikan utama di gerai Hj Isenin dengan pelbagai pilihan ikan antaranya ikan jenahak, ikan merah dan ikan serkup.

Kari kepala ikan jenahak menjadi pilihan utama pelanggan disebabkan tekstur isinya yang lembut dan rasanya yang enak selain kesegaran ikan tersebut.

Perniagaan makanan kari kepala ikan Hj Isenin mula mendapat perhatian serta menjadi buah mulut para pelanggan khususnya di kalangan warga Melaka.

Sehinggalah pada tahun 1991, pihak MBMB memberikan arahan untuk berpindah kerana tapak gerai itu akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek melebarkan jalan dan kemudahan awam yang lain.

Hajah Aminah bt Abdullah, 74, isteri Hj Isenin yang melalui perit gentir bersama suaminya sejak lebih 40 tahun yang lalu.

Pada 1992, Hj Isenin telah membina sebuah restoran di atas sebidang tanah yang terletak berhampiran tapak asal gerai suatu ketika dahulu dan dia menamakannya, RESTORAN KARI KEPALA IKAN HJ ISENIN seperti yang ada sekarang ini.

Sejak mula beroperasi dari 1992 hingga kini, restoran ini pernah dianugerahkan tempat kedua dalam kategori Restoran Terbersih peringkat negeri Melaka pada tahun 1993.

Sifat mesra pelanggan, mementingkan kualiti makanan serta mengutamakan kebersihan premis dan peralatan menjadi antara faktor yang menentukan kelangsungan aktiviti perniagaan hingga ke hari ini.

Hala tuju perniagaan

Perniagaan Restoran Kari Kepala Ikan Hj Isenin kini telah diambil alih oleh anak bongsunya iaitu Hj Hairman bin Hj Isenin sepenuhnya.

Semasa FMT berkunjung ke restoran tersebut dikhabarkan Hj Isenin telah kembali ke rahmahtullah pada 10 Dis 2020 pada usia 80 tahun.

Seiring dengan peredaran masa yang sangat pantas, menyaksikan pewaris beliau terus mengorak langkah meneruskan warisan Haji Isenin seiring dengan cabaran dan dugaan dunia perniagaan masa kini.

Kini, selain diuruskan sepenuhnya oleh Hj Hairman dan isterinya Norhayati Daud, resepi kari kepala ikan ini turut mendapat sentuhan isteri kedua Allahyarham iaitu Norhalimah bt Sufian dibantu oleh anak-anak Hj Isenin yang lain.

Karikatur Allahyarham Hj Isenin bersama seekor ikan. (Gambar Hairman)

Berbekalkan tunjuk ajar dan pendedahan serta pengalaman daripada Hj Isenin, kini Hj Hairman telah membuat perubahan dari segi konsep, susun atur dan pendekatan yang dilihat mampu menyerlahkan lagi kegemilangan perniagaan Restoran Kari Kepala Ikan Hj Isenin.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi Hj Hairman di talian 019-3111154/84.

Restoran Kari Kepala Ikan Haji Isenin Bin Saleh
Lot 371, KM4, Jalan Semabok,
75050 Semabok, Melaka.
Hubungi: 019-3111154/019-3111184

Waktu operasi: 10 pagi hingga 5 petang setiap hari.

Buat masa ini, restoran ini ditutup selama dua minggu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dijalankan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments