Saturday, April 27, 2024
HomeBREAKING NEWSKerajaan terima semua 49 saranan penambahbaikan pilihan raya

Kerajaan terima semua 49 saranan penambahbaikan pilihan raya

Pengerusi ERC Abdul Rashid Abdul Rahman berkata kerajaan memerlukan masa untuk melaksanakan reformasi kepada semua saranan itu dan pihaknya menjangkakan dalam tempoh 10 untuk ia diselesaikan.

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) berkata, kerajaan akan melaksanakan semua 49 saranan penambahbaikan yang menyentuh perihal sistem, proses dan undang-undang berkaitan pilihan raya dikemukakan pihaknya Ogos lalu.

Pengerusi ERC Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, ia akan dilaksanakan mengikut keutamaan dan kesesuaian dalam masa terdekat.

“Saya rasa kerajaan pun dah nampak stabil dan saya diberitahu kerajaan dah pun lantik Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali sebagai pengerusi jawatankuasa Kabinet mengenai pilihan raya untuk kaji secara mendalam dan dia ada badan untuk proses.

“Saya diberitahu mereka mengkaji secara mendalam apa yang boleh dilaksanakan segera,” katanya dalam sidang media selepas program memperkasakan pendidikan sivik dan pengundi.

Beliau berkata, daripada 49 saranan dikemukakan, 32 perlu dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun oleh jawatankuasa khas dipengerusikan Azmin.

Katanya, kerajaan memerlukan masa untuk melaksanakan reformasi kepada semua saranan itu dan pihaknya menjangkakan dalam tempoh 10 untuk ia diselesaikan.

“Antara penambahbaikan perlu diberi perhatian oleh kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak wujud dalam peraturan sekarang termasuklah peraturan yang perlu dipatuhi kerajaan sementara ketika menunggu proses pilihan raya.

“Kerajaan sementara yang mengambil alih untuk 60 hari perlu ada peraturan khas sebab dia bukan lagi kerajaan biasa. Dia sudah tiada kuasa, tak boleh ikut undang-undang kerajaan biasa tapi lebih baik kalau kita wujudkan peraturan yang sesuai,” katanya.

Katanya, selain itu kawalan media ketika pilihan raya dan perlu mengikut undang-undang ditetapkan SPR.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat minggu lalu berkata, sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi meneliti kajian menyeluruh ERC selama dua tahun ke atas keberkesanan sistem dan undang-undang pilihan raya.

Katanya, hasil penelitian itu kemudian akan didedahkan kepada umum.

ERC ditubuhkan pada Ogos 2018 menggariskan 15 agenda reformasi dalam kajian berhubung penambahbaikkan sistem dan undang-undang pilihan raya, termasuk mengenai proses dan mekanisme bagi pemilih berdaftar Malaysia yang tinggal di luar negara.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments