Sunday, October 6, 2024
HomeBREAKING NEWSKerajaan kaji kesesuaian laksana semula GST, cukai lain, kata timbalan menteri

Kerajaan kaji kesesuaian laksana semula GST, cukai lain, kata timbalan menteri

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, keutamaan kerajaan ketika ini ialah menjaga kesihatan rakyat dan pengurangan ketirisan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji kesesuaian melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) atau apa-apa model cukai kepenggunaan dengan mengambil kira semua aspek, kata Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah.

Katanya, kajian itu turut merangkumi aspek kelemahan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada, serta sistem GST yang dilaksanakan pada 2015.

“(Kajian ) ini termasuk kelemahan sistem cukai jualan dan cukai perkhidmatan semasa serta kelemahan sistem GST yang dilaksanakan pada tahun 2015.

“Kajian turut meliputi kesan ke atas ekonomi, kos sara hidup, kesan ke atas harga barang serta keupayaannya menangani kegiatan ekonomi gelap,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) sama ada kerajaan akan melaksanakan semula GST atau cukai kekayaan untuk meningkatkan pendapatan negara.

Katanya, pelaksanaan cukai baru perlu bersifat mudah ditadbir dan tidak meningkatkan kos perniagaan di samping dapat mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

“Berhubung dengan cukai kekayaan, kerajaan tidak mempunyai sebarang cadangan untuk melaksanakannya pada masa ini,” katanya.

7 Dis lalu ketika ditanya sama ada kerajaan akan melaksanakan GST semula seawal tahun depan, Shahar berkata, pelaksanaan semula cukai itu yang dimansuhkan 2018 bukan pilihan kerajaan pada masa ini.

Katanya, keutamaan kerajaan ketika ini ialah menjaga kesihatan rakyat dan pengurangan ketirisan.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments