Monday, December 23, 2024
HomeBREAKING NEWSKerabu pegaga, salad ‘superfood’, wajib dicuba

Kerabu pegaga, salad ‘superfood’, wajib dicuba

Kerabu pegaga, enak dan menyelerakan.

Pegaga yang juga dikenali dengan nama-nama seperti Pennywort, Gotu Kola atau Brahmi, merupakan ulam yang cukup berkhasiat.

Kaya dengan asid amino dan asid lemak, beta karotena serta fitonutrien, pegaga melancarkan peredaran darah dan merangsang pertumbuhan sel. Hal ini seterusnya, membantu dalam penghasilan kolagen yang membuatkan kulit anda kelihatan segar dan menjadikan rambut anda lebih kuat serta kuku anda lebih kukuh.

Selain berfungsi sebagai bahan kecantikan, pegaga juga terbukti dapat menguatkan daya ingatan. Satu kajian yang dijalankan pada tahun 2012 mendapati bahawa ekstrak pegaga mempunyai kesan positif dalam melindungi sel otak daripada ketoksikan.

Pegaga juga membantu dalam proses penghadaman, mengeluarkan toksin daripada badan dan merupakan bahan yang kaya dengan antioksidan.

Pegaga kaya dengan pelbagai khasiat untuk kesihatan dan kecantikan.

Nah, terbukti sudah kehebatan pegaga dan ia sememangnya menakjubkan malah ia juga diklasifikasikan sebagai makanan superfood.

Bagi kebanyakan individu, pegaga merupakan herba bukan kerana rasanya yang pahit dan payau. Namun begitu, apabila ditambah dengan sedikit kerisik dan campuran cili dan belacan kisar, anda akan menghasilkan satu salad enak yang kami panggil sebagai Kerabu Pegaga.

Mari kita cuba salad ala Malaysia yang mudah, menyegarkan dan sihat ini.

Kerabu Pegaga

Bahan-Bahan:

  • 250g pegaga segar, batang keras dibuang
  • 100g bawang besar, dihiris
  • 100g kelapa muda, diparut
  • 30g belacan
  • 65g cili merah (kira-kira 5 cili)
  • 10g cili padi (8 to 9 cili)
  • 2 sudu besar jus limau kasturi
  • 1/2 sudu teh garam
  • 50g ikan bilis (pilihan)

Cara menyediakan:

  1. Sediakan daun pegaga segar. Bersihkan daun pegaga dan buang batang pegaga yang keras.
  2. Dalam kuali kering, goreng kelapa parut muda sehingga menjadi kekuningan. Keluarkan kerisik daripada kuali dan ketepikan.(tidak perlu terlalu garing jika mahukan rasa yang lemak)
  3. Kisar belacan, cili merah dan cili padi, jus limau serta garam. Ketepikan.
  4. Kalau anda ingin memasukkan ikan bilis, cuci dan goreng di dalam kuali sehingga betul-betul kering.
  5. Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk besar. Gaulkan kerisik, daun pegaga, hirisan bawang, ikan bilis (pilihan) dan campuran belacan.
  6. Tambahkan garam atau jus limau secukup rasa.
  7. Sedia untuk dihidangkan.

Selamat mencuba!

Artikel ini telah disiarkan di butterkicap.com. Butterkicap adalah platfom dan komuniti yang menceritakan tentang makanan dan kebudayaan di Malaysia.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments