PETALING JAYA : Setiap bulan, Mira, 28 tahun, mengoyakkan secebis kain dari baju lama untuk dijadikan tuala wanita setelah bekalannya habis.
Selang tiga jam, apabila kain itu terlalu kotor, Mira, yang duduk di sebuah perkampungan tepi pantai di Sabah, akan membasuhnya dengan air laut dan menggunakannya semula.
“Ibu saya mengajar saya (bagaimana mengurus haid saya). Dia memberitahu saya apa yang harus saya lakukan ketika saya mendapat haid, bagaimana menjaga diri sendiri dan tidak memberitahu orang lain,” katanya kepada FMT.
Akibat kemiskinan, Mira, adik dan ibunya terpaksa berkongsi 20 tuala wanita sebulan dan menggunakan kain pakaian sebagai pengganti.
Dicengkam kemiskinan tegar, sebilangan gadis dan wanita tiada pilihan kecuali menggunakan baju lama, sekam kelapa, daun pisang, dan surat khabar sebagai pengganti tuala wanita.
Amalan sedemikian mendedahkan mereka kepada pelbagai risiko kesihatan termasuk jangkitan saluran kencing, kata pegawai pembangunan kapasiti Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO), Hannah Reshma Jambunathan.
Mira dan wanita senasib dengannya dibelit kemiskinan tegar sehingga tidak mempunyai akses kepada tuala wanita dan produk kebersihan berkaitan mahupun memiliki kesedaran mencukupi mengenai pengurusan haid.
Hannah berkata WAO merekodkan banyak kisah kemiskinan tegar yang memberi impak mendalam kepada wanita seperti Mira.
Menurut, Dr Fatimah Al-Attas dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, pelbagai golongan masyarakat terkesan dengan kemiskinan di Malaysia, sehingga tidak mampu mempunyai akses kepada tuala wanita dan produk kebersihan berkaitan.
“Sebagai contoh, para gelandangan tidak mempunyai akses kepada produk berkaitan haid. Bagi para pelajar pula, lain masalahnya. Tandas sekolah yang tidak bersih atau mempunyai tong pembuangan tuala wanita, menyukarkan pelajar perempuan,” katanya.
Walaupun tidak ada data tepat mengenai situasi kemiskinan di negara ini, Fatimah yakin jumlah wanita dan gadis remaja tanpa akses kepada penjagaan haid adalah tinggi kerana begitu banyak keluarga bergelut dengan kos sara hidup yang semakin menokok.
“Sekiranya orang tidak mempunyai cukup wang untuk membeli makanan, itu bermakna mereka juga tidak mempunyai keupayaan membeli barangan asas (termasuk tuala wanita). Tetapi kaitan ini (antara kemiskinan dan masalah menguruskan haid) tidak pernah dibuat. ”
Hannah berkata, pandemik Covid-19 dan sekatan pergerakan mengganggu akses masyarakat yang terpinggir kepada tuala wanita yang sering dianggap sebagai produk “tidak penting,” khususnya dalam persekitaran yang didominasi lelaki.
“Hakikat ini terpancar dalam banyak bantuan Covid-19 yang disalurkan oleh pelbagai pihak kepada golongan yang memerlukan. Banyak keperluan harian diberikan, seperti makanan dan air, tetapi tuala wanita dan produk berkaitan pengurusan haid jarang diberi,” kata beliau.
Nisha Sabanayagam, pengurus program dan operasi untuk All Women’s Action Society (Awam), berkata kemiskinan memaksa ramai pelajar perempuan di luar bandar ponteng sekolah dan ketinggalan dalam pelajaran kerana tidak mempunyai akses kepada kemudahan seperti tuala wanita.
“Terdapat gadis-gadis di luar bandar yang tidak bersekolah kerana…mereka tidak mempunyai tuala wanita, menyebabkan darah haid mengotorkan pakaian seragam mereka.
“Apabila ini berlaku, mereka lebih rela ponteng sekolah, daripada menanggung rasa malu,” katanya.
Justeru, pelajar berkenaan tidak menghadiri kelas sehingga seminggu, menyebabkan mereka ketinggalan dalam pelajaran, katanya.
Malaysia tentunya jauh daripada pencapaian Scotland yang menyediakan produk berkaitan haid secara percuma untuk semua wanita. Sekolah, kolej dan universiti di negara itu juga turut menyediakan tuala wanita dan produk berkaitan secara percuma.
Nisha dan Hannah menggesa agar program kesedaran dan pendidikan mengenai haid dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah di Malaysia, selain memudahkan akses untuk pelajar memperolehi tuala wanita.
“Ini akan mengatasi rasa malu dan stigma mereka. Ia juga akan mengajar anak gadis kita untuk tidak merasa malu dengan tubuh dan proses biologi mereka.
“Lebih banyak penyelidikan juga harus didorong untuk memahami kesan kemiskinan ke atas pengurusan haid wanita di Malaysia, khususnya golongan terpinggir, agar kita mempunyai data untuk menangani masalah ini dengan berkesan,” kata Hannah.