Thursday, September 19, 2024
HomeBREAKING NEWSKemiskinan bantut kelas dalam talian untuk murid, ibu bapa

Kemiskinan bantut kelas dalam talian untuk murid, ibu bapa

Nur Aqilily Dania bersama rakannya, Amirul Atiq Muhamad Faizul mengoptimakan penggunaan telefon bimbit supaya tidak ketinggalan dalam pembelajaran.

KUALA LUMPUR: Tidak lama selepas sekolah dibuka semula dan keadaan seolah-olah telah kembali seperti sediakala, sekali lagi ia diarah tutup.

Dari pembelajaran bersemuka, kelas dalam talian menjadi norma baharu.

Keadaan ini dijangka akan berterusan selama pandemik ini masih belum dikekang sepenuhnya.

Buat yang berkemampuan, wang tidak menjadi soal.

Ibu kepada empat orang anak, Normala Yusof, 36 tahun bimbang dirinya dan suami belum mampu untuk menyediakan kemudahan yang optimum bagi memudahkan pembelajaran anak-anak di rumah.

Komputer riba, alat peranti internet, mesin pencetak bukanlah kelengkapan yang murah untuk disediakan kepada anak-anak.

“Semenjak dia orang belajar di rumah secara online, susah nak mengatur masa anak-anak. Setiap pagi (saya) akan mengasuh anak orang. Jadi tidak dapat nak beri tumpuan kepada pelajaran mereka di rumah.”

Menurut Normala lagi, beliau sekeluarga terpaksa menanggung beban kewangan berat dan sukar membiayai keperluan pendidikan dalam talian anak-anak.

Keadaan semakin buruk apabila selepas suaminya, Akim Herman Shah, terpaksa diberhentikan kerja dua bulan lalu memaksa mereka sekeluarga bergantung kepada pendapatan Normala yang mengambil upah menjaga anak jiran-jirannya.

Buat waktu ini, anak keduanya, Nur Aqilily Dania, mengoptimakan penggunaan telefon bimbit demi untuk tidak ketinggalan dalam pembelajaran.

Dania yang bakal menghadapi ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun depan mengaku belum bersedia kerana merasakan sudah jauh ketinggalan dalam silibus pembelajaran tahun ini.

”Cabaran di rumah bila tiada internet, saya tidak dapat langsung nak masuk ke google form itu. Kadang kala saya dan rakan-rakan terpaksa mencari lokasi yang jaringan internetnya lebih baik untuk mencari maklumat menyiapkan kerja rumah atau kerja khusus yang ditugaskan,” beliau memberitahu FMT .

Mereka ini bukan tinggal di kawasan pedalaman. Namun, rata-rata mereka yang menghuni di Projek Perumahan Rakyat PPRT di Kuala Lumpur, amat terkesan akibat pandemik COVID-19.

Rakan Dania, Amirul Atiq Muhamad Faizul pula berkata kekangan kewangan mengakibatkan perkhidmatan internet di rumahnya sering kali dipotong apabila mereka gagal membayar perkhidmatan tersebut mengikut waktu yang ditetapkan.

Ketika itu berlaku beliau terpaksa mengambil inisiatif lain bagi mengikuti sesi pembelajaran, termasuk melakukan kerja sekolah di rumah kawan.

“Saya kena bahagikan masa dengan sebaiknya. Ada masa nak kena tolong ayah meniaga, nak kena pergi kedai, kena jaga adik semua. Ayah saya menghidap penyakit sakit saraf sehingga menyebabkan kakinya terpaksa dipotong. Mak saya kerani di Setapak,” tambahnya.

Menurut Dania, pembelajaran melalui aplikasi Google Meet kadang-kala terpaksa dibatalkan kerana ramai pelajar yang gagal menghadiri kelas berkenaan susulan masalah internet.

Dari satu sudut, guru-guru juga terpaksa menanggung beban yang sama dalam menyediakan kemudahan bagi membolehkan lmu terus disampaikan dalam situasi norma baharu ini.

Dan sekali lagi, wang ringgit menjadi ukuran.

Belanjawan 2021 diluluskan sektor pendidikan terus menerima peruntukan terbesar iaitu RM50.4 bilion atau 15.6% daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan.

Ia merangkumi perbelanjaan bagi aspek kesihatan pelajar di sekolah, baik pulih prasarana, kemudahan pembelajaran serta pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan pendidikan khas.

Kerajaan beri jaminan akan meningkatkan akses talian internet melalui inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi memastikan kesalinghubungan sejumlah 430 sekolah di seluruh negara.

Sementara Jaringan Prihatin yang menelan belanja RM1.5 bilion pula akan memanfaatkan lapan juta orang dari golongan B40.

Tidak dinafikan pembelajaran dalam talian merupakan satu penyelesaian bagi memastikan sistem pendidikan terus berjalan pada masa pandemik COVID-19.

Namun, mereka yang menetap dalam pangsapuri kos rendah dengan keadaan kewangan terdesak bimbang anak-anak mereka berkemungkinan tercicir dalam sistem pendidikan norma baharu kerana dicengkam kemiskinan.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments