Wednesday, October 16, 2024
HomeBREAKING NEWSKembalikan takaful percuma mySalam kepada golongan M40, kata Steven Sim

Kembalikan takaful percuma mySalam kepada golongan M40, kata Steven Sim

Steven Sim. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, menggesa kerajaan memulihkan perlindungan takaful percuma bawah skim Perlindungan Kesihatan Masyarakat (mySalam) kepada kumpulan berpendapatan sederhana (M40), mendakwa laman web mySalam tidak lagi menyenaraikan M40 sebagai penerima skim itu.

“Adakah ini bermakna kerajaan Perikatan Nasional (PN) secara diam-diam tidak lagi memberikan perlindungan mySalam kepada kumpulan M40.

“Ini bukan masanya untuk mengurangkan perlindungan kesihatan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Skim perlindungan mySalam diperkenalkan oleh pentadbiran lepas dengan tujuan menyediakan perlindungan kesihatan takaful percuma kepada lapan juta rakyat, termasuk kumpulan berpendapatan rendah (B40).

Dalam pada itu, Steven mengesa kerajaan meluaskan manfaat skim mySalam untuk merangkumi sistem 3T Covid-19, iaitu penyaringan, pengesanan dan perawatan (testing, tracing, treating) di hospital kerajaan dan swasta.

Katanya, apabila Kementerian Kesihatan (KKM) mengehadkan ujian saringan Covid-19 kepada kontak terdekat yang bergejala sahaja, ini menunjukkan sistem penjagaan kesihatan negara sudah tidak mampu untuk menghadapi lonjakan kes Covid-19.

“Sistem 3T berada dalam keadaan kekurangan sumber yang amat tertekan.

“Kerajaan perlu segera mengembangkan keupayaan 3T kerana ini langkah paling berkesan melawan Covid-19 dan melindungi ekonomi rakyat berbanding sekatan pergerakan.

“Penglibatan sektor swasta amat dialu-alukan,” katanya.

Steven juga menyeru jaringan hospital swasta supaya melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dan memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan mampu kepada rakyat dalam keadaan krisis kini.

Beliau juga berkata, kerajaan perlu memberikan subsidi kepada rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan di hospital swasta, sama ada untuk Covid-19 atau penyakit lain dalam tempoh pandemik.

“Saya menyeru agar institusi insurans swasta yang lain juga akan memperluaskan manfaat produk insurans mereka merangkumi perkhidmatan 3T Covid-19 kepada pelanggan,” katanya.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments