PETALING JAYA: Seorang pakar pendidikan mengingatkan kerajaan supaya tidak mengetepikan dan menyekat komuniti keterpinggiran daripada berpeluang menerima pendidikan yang setara, dengan menganggap lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk kumpulan terbabit.
Ini susulan FMT melaporkan kisah mengenai Jonah Michio Tan, 6, yang memperjuangkan hak untuk mendapat pendidikan.
Jonah menghidap displasia skeletal, gangguan genetik jarang ditemui yang menjejaskan tulang dan sendinya, seterusnya mengganggu pertumbuhan serta pembesarannya.
Oleh kerana itu, Jonah, yang tahun ini memasuki usia ketujuh dan sepatutnya masuk sesi persekolahan darjah satu, ketinggalan dalam pelajarannya. Ibunya, Miyumi, masih tidak dapat mencari sekolah yang sesuai.
Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) berkata walaupun Kementerian Pendidikan (KPM) menjamin tiada yang ketinggalan dalam pendidikan, itu bagaimanapun tidak selalu berlaku.
“Pendirian KPM adalah pendidikan khas tidak menjimatkan kos,” kata presiden PAGE Noor Azimah Abdul Rahim kepada FMT.
Beliau berkata walaupun tidak dapat dinafikan ada program pendidikan khas yang ditubuhkan kerajaan, itu tidak cukup untuk memenuhi keperluan golongan terbabit.
Malah, beberapa program itu tidak sesuai untuk sebilangan pelajar kurang upaya (OKU).
Dalam kes Jonah, Miyumi berkata beliau ada menghubungi sekolah-sekolah kerajaan yang menawarkan program pendidikan khas.
Namun, beliau membuat kesimpulan, Jonah tidak sesuai untuk mengikuti kelas itu kerana programnya tidak dipadankan dengan keadaan anaknya.
“Tiada sekolah sesuai yang boleh uruskan Jonah, dan kalau ada pun, kemungkinan saya tidak mampu,” katanya.
Beliau berharap dapat bertemu dengan ibu bapa yang lain dengan anak-anak yang berkongsi nasib sama.
“Saya tak ada banyak pengalaman dalam menangani situasi ini. Saya harap dapat jumpa dengan ibu bapa yang lain untuk membimbing saya,” katanya.
Azimah juga percaya pembiayaan adalah punca utama masalah itu.
“Kita percaya kerajaan tidak sengaja mengabaikan pelajar seperti itu. Hanya kerana tiada dana,” katanya.
Namun, beliau berkata kerajaan perlu melihat golongan itu dari sudut yang berbeza.
“Pelajar-pelajar ini dapat menjadi aset bagi kerajaan sekiranya mereka menerima peluang pendidikan yang setara, bukannya dianggap sebagai beban kepada masyarakat.”
Sementara itu, Majlis Pemulihan Malaysia (MCR) berkata ibu bapa kepada kanak-kanak kurang upaya perlu fokus kepada pemerolehan kemahiran dan bukannya kelayakan akademik.
“Sebaliknya, kembangkan kemahiran, tidak perlu mengikuti sistem pendidikan arus perdana,” kata presiden MCR Khatijah Suleiman.
Beliau menggesa kerajaan untuk menubuhkan lebih banyak pusat pendidikan berasaskan kemahiran seperti kolej komuniti dan sekolah vokasional.
“Lebih banyak pusat perlu ditubuhkan, terutama di kawasan luar bandar,” katanya, sambil menambah NGO juga perlu memberikan sokongan aktif terhadap inisiatif itu.