Sunday, September 15, 2024
HomeBREAKING NEWSKegilaan teh boba terus memuncak dengan koleksi patung comel

Kegilaan teh boba terus memuncak dengan koleksi patung comel

Chan Tze Hing bersama koleksi patung comel boba. (Gambar Chan Tze Hing)

PETALING JAYA: Sebut sahaja teh boba atau ‘bubble tea’, tentu sahaja menjadi tumpuan apatah lagi anak-anak muda. Bebola mutiara dari tepung ubi kenyal dicampur susu dan dinikmati dengan perasa kegemaran ini sememangnya menjadi tren kegilaan ramai.

Malah, banyak restoran turut mengadaptasikan beberapa resepi yang bersangkutan dengan bebola kenyal ini.

Dalam kegilaan terhadap boba, Chan Tze Hing, pemuda berusia 23 tahun, mengambil peluang menjana pendapatan dengan menjual koleksi patung comel yang direka seakan teh boba.

Patung ini dijual di laman web Subtle Asian Treats. (Gambar Chan Tze Hing)

Menurut Chan, ianya bermula sewaktu dia menjalani latihan amali (internship). Akibat banyak masa yang terluang di hujung minggu, Chan berhasrat untuk menambah pendapatan.

Pencarian di internet, pelbagai jenis perniagaan muncul dan akhirnya dia bertemu dengan sebuah laman web yang menjual koleksi barangan boba dari bekas telefon, peralatan dapur seperti pengasah pisau dan pelbagai lagi.

Namun, ia tidak menarik perhatiannya sehinggalah dia berjumpa dengan satu permainan berbentuk teh boba yang cukup mengkagumkan.

Patung boba berperisa ‘Kawaii’. (Gambar Chan Tze Hing)

Chan terus menyelidik dan mendapati terdapat hanya dua pembekal yang menjual mainan mewah tersebut pada masa itu.

Tanpa membuang masa, Chan segera menghubungi pembekal untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai kualiti dan saiznya. Dia kemudian memasarkan produk tersebut menggunakan laman web Subtle Asian Treats.

“Saya mula memasarkan produk tersebut pada hari pertama saya menjumpainya. Dari situ saya tahu tidak ada orang lain yang menjualnya lagi dan ini bermaksud saya mempunyai kelebihan sebagai penggerak pertama,” kata Chan.

Langkah yang diambil Chan terbukti berhasil, apabila keesokan harinya dia terkejut dengan sambutan yang diterima.

“Sehari selepas itu, pulangan pelaburan saya meningkat empat kali ganda. Boneka boba adalah produk yang ‘magik’.

Patung mainan comel ini turut menjadi kegilaan remaja di Amerika. (Gambar Chan Tze Hing)

Patung lembut ini, yang terdapat dalam tiga ‘rasa’, direka dengan empat ukuran cawan, membuat pelanggan menggigitnya dengan cara yang sama ketika mereka menghirup teh bebola mutiara di awal dulu.

Malah, walaupun ekonomi merundum akibat pandemik, kedai Chan terus ‘meluncur’ laju dengan keuntungan.

Hanya dalam dua bulan, penjualan mencecah RM400,000 (kira-kira AS$98,180)!

Pada 27 Nov 2020, ia telah menjual sejumlah 3,684 boneka ini dengan Amerika Syarikat menyumbang 80% dari semua penjualan manakala pembelian dari Kanada dan Australia masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.

Anda juga boleh miliki koleksi patung comel ini. (Gambar Chan Tze Hing)

Chan bersyukur, walaupun dalam keadaan pandemik, dia tetap mendapat keuntungan dan usaha serta kerja kerasnya berbaloi.

Kata Chan, dia tidak perlu lagi menjalankan iklan kerana pelanggannya melakukan pembelian setiap hari. Malah, dia yakin jenama yang telah sedia ada menjadikan patung lembutnya itu mudah diterima pelanggan.

“Faktor yang mendorong saya untuk memulakan perniagaan ini adalah kerana saya yakin akademik sahaja tidak mencukupi untuk mendapatkan pekerjaan yang saya mahukan dan penentu kejayaan seseorang,” kata Chan.

Sememangnya, resepi kejayaan Chan adalah merebut peluang yang ada dan menggenggamnya sehingga menjadi kenyataan.

Sekiranya anda seorang peminat boba, milikilah barangan boba yang anda minati, dari kecil hingga ke besar. Segalanya bergantung kepada saiz yang anda suka.

Anda hanya perlu melayari laman web Subtle Asian Treats website di sini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments