Friday, October 18, 2024
HomeBREAKING NEWSJumlah kes sembuh atasi kes Covid-19

Jumlah kes sembuh atasi kes Covid-19

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 1,247 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu 1,245 kes adalah penularan tempatan, manakala 2 kes adalah jangkitan di luar negara.

Jumlah jangkitan COVID-19 dalam negara setakat ini 101,565 kes.

Ketika ini, sebanyak 18,576 mangsa sedang dirawat, dengan 108 pesakit di unit rawatan rapi (ICU) dan 47 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, 1,441 kes sembuh dilaporkan dalam tempoh sama.

Tiga kematian dilaporkan, menjadikan jumlah korban 449 orang setakat ini.

Mengulas tiga kes kematian yang berlaku pada hari ini, ia membabitkan 2 lelaki berusia 76 tahun dan 65 tahun dari Sabah dan seorang perempuan usia 64 tahun, yang meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh.

Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi, iaitu sebanyak 461 kes. Daripada jumlah ini, sebanyak 309 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19, yang aktif dijalankan di lapangan.

Ini diikuti Sabah, sebanyak 225 kes dan Johor sebanyak 205 kes.

Sebanyak 211 kes berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Gajah (113 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (86 kes), Kluster Tembok (8 kes), dan Kluster Pompod (4 kes).

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments