Thursday, April 25, 2024
HomeBREAKING NEWSJangan peduli suara-suara sumbang, fokus pada rakyat, kata Wan Saiful kepada PN

Jangan peduli suara-suara sumbang, fokus pada rakyat, kata Wan Saiful kepada PN

Ketua Penerangan PPBM Wan Saiful Wan Jan berkata Muhyiddin Yassin yang juga presiden PPBM sudah membuktikan keikhlasan beliau dalam menjaga negara serta menangani masalah rakyat.

PETALING JAYA: Jangan hiraukan suara-suara sumbang dan fokus kepada membela rakyat.

Itu mesej Ketua Penerangan PPBM Wan Saiful Wan Jan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin, sehari selepas beliau mengumumkan pakej bantuan perlindungan ekonomi dan rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion untuk membantu rakyat dan merangsang ekonomi dalam memerangi Covid-19.

PPBM “menggesa agar kerajaan meneruskan fokus kepada rakyat dan negara dan tidak menghiraukan suara-suara sumbang,” kata Wan Saiful di Facebooknya.

PPBM “yakin rakyat dapat melihat dengan jelas keikhlasan Muhyiddin dalam menjaga negara ini, dan betapa besar beza antara beliau dengan mereka yang tidak habis-habis dengan kepentingan peribadi” kata beliau, tanpa menamakan individu yang dimaksudkan.

Wan Saiful membuat gesaan itu ketika pembangkang semakin lantang mengkiritk kepimpinan Muhyiddin, malah menuduh beliau kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat untuk terus menjadi perdana menteri.

Umno sebagai blok terbesar dalam kerajaan dilaporkan menimbang menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin semasa menghadapi pilihan raya umum ke-15.

Muhyiddin juga dikecam pembangkang kerana mengusulkan pengisyhtiharan darurat, yang didakwa bertujuan menjamin kelangsungan PN dan bukan memerangi Covid-19.

Wan Saiful berkata, Muhyiddin yang juga presiden PPBM sudah membuktikan keikhlasan beliau dalam menjaga negara serta menangani masalah rakyat.

“PPBM juga mengajak semua pihak memberi sokongan penuh kepada Muhyiddin dan kerajaan dalam usaha yang dijalankan. Pengumuman PERMAI, oleh Muhyiddin membuktikan betapa beliau sentiasa mencari jalan membantu dan menyelesaikan masalah rakyat.

Bagi Wan Saiful, matlamat akhir PERMAIL yang diumumkan Muhyiddin adalah untuk memberi penekanan memerangi wabak Covid-19, memelihara kebajikan rakyat, dan menyokong kelangsungan perniagaan, yang bertepatan dengan keperluan semasa.

“Rakyat perlukan tunai di tangan untuk membolehkan mereka berbelanja, baik untuk kehidupan seharian mahupun untuk menjaga kesihatan. Semua lapan inisiatif dalam agenda “Memelihara Kebajikan Rakyat” pasti akan membantu mempertingkat jumlah tunai di tangan kita semua.

“Sepuluh lagi inisiatif dalam kerangka “Menyokong Kelangsungan Perniagaan” pula akan memastikan pengusaha kecil dan sederhana yang menjadi tulang belakang ekonomi negara akan terus menjalankan aktiviti mereka,” katanya.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments