KUALA LUMPUR: Shahidan Kassim menempelak Ahli Parlimen DAP yang didakwa cuba menjadi “hero” dalam kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dua tahun lalu.
Shahidan berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang “sebenarnya” memperjuangkan kes Adib dari awal berbanding Pakatan Harapan (PH) yang didakwa tidak berbuat apa-apa.
“Jangan hanya bercakap, konon nak jadi hero. Tidak payah jadi hero. Bila kami sudah buat, jangan ambil kesempatan untuk dilihat kononnya berjuang sesuatu tetapi sebenarnya tidak buat apa-apa.
“Apa pun kita perlu bersyukur Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin telah bertindak dan cuba selesaikan penyiasatan kes Adib ini,” kata Ahli Parlimen Arau itu di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian setelah RSN Rayer (PH-Jelutong) mempersoalkan kelewatan menyelesaikan kes-kes berprofil tinggi seperti kematian Adib dan usaha menjejaki ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low.
“Banyak kes belum selesai seperti Jho Low dan Adib,” kata Rayer yang juga pemimpin DAP dari Pulau Pinang,
Isnin lalu, Dewan Rakyat memaklumkan hasil siasatan berhubung penyebab kematian Adib akan dimaklumkan tidak lama lagi.
Hamzah berkata, siasatan polis kini di peringkat akhir dan hasil siasatan akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara.
Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis 2018 di Institut Jantung Negara ekoran kecederaan parah dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.