Thursday, September 19, 2024
HomeBREAKING NEWSJangan bertindak melulu terhadap jualan alkohol, kata kumpulan pengguna

Jangan bertindak melulu terhadap jualan alkohol, kata kumpulan pengguna

Bahagian tidak halal di Jaya Grocer ditutup susulan protes daripada ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli. (Gambar Facebook Shaid Rosli)

PETALING JAYA: Mereka yang menentang penjualan alkohol di pasar raya dan kedai runcit lain bebas berbuat demikian, tetapi tidak berhak menggunakan tindakan keras terhadap penjual.

Sebaliknya, pemimpin masyarakat dan wakil rakyat yang menentang penjualan bahan itu perlu melibatkan kerajaan dalam penguatkuasaan lebih ketat undang-undang, kata kumpulan pengguna.

Mengulas penutupan bahagian alkohol tidak halal di gerai Jaya Grocer di Puncak Alam, Gerakan Pengguna Malaysia (MCM) berkata, terserah kepada kerajaan untuk mengubal dan menguatkuasakan peraturan serta undang-undang berhubung penjualan alkohol, selain berkata, prosedur sedia ada sudah ketat.

Setiausaha agung kumpulan itu, Sukhdave Singh berkata, sekumpulan masyarakat yang menentang penjualan sebarang barangan perlu melibatkan pihak berkuasa pelesenan atau memilih untuk tidak pergi ke kedai runcit sedemikian. Mereka tidak boleh mengambil tindakan melulu.

Sukhdave Singh.

“Pertama, kami ingin menjelaskan bahawa MCM tidak menyokong penggunaan alkohol dan kami menyokong peraturan lebih ketat untuk mencegah akses mudah bahan itu.

“Putrajaya sudah tetapkan peraturan ketat kepada peruncit yang menjual barang halal dan tidak halal. Dengan mengambil kira dan menghormati sensitiviti pengguna Islam, minuman beralkohol wajib diasingkan dalam bahagian yang tidak halal,” katanya.

Beliau berkata, peniaga tidak akan menjual alkohol jika tidak ada permintaan daripada masyarakat.

“Laporan media menunjukkan kawasan tersebut memiliki 90% penduduk Melayu-Islam, tetapi kita tidak dapat menolak hak 10% penduduk bukan Islam untuk membeli minuman beralkohol jika mereka mahu berbuat demikian.

“Sebelum menjual minuman beralkohol, peruncit memerlukan permit dan, dalam hal ini, kami menganggap permit diberikan.”

ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas menyerahkan memorandum kepada Jaya Grocer di Eco Grandeur, Puncak Alam, sebagai protes terhadap penjualan alkohol di pasar raya itu.

Namun, Shaid, yang keluar PPBM pada Ogos untuk menyertai Dr Mahathir Mohamad, menafikan beliau memaksa pasar raya itu menutup bahagian tersebut, dengan berkata, beliau hanya mencadangkannya bagi pihak penduduk Puncak Alam.

Sukhdave berkata mana-mana wakil rakyat, sama ada Ahli Parlimen atau ADUN, perlu bekerja mengikut kepentingan semua anggota masyarakat dalam kawasan mereka, bukan hanya kumpulan terpilih.

Beliau berkata, ADUN terbabit seharusnya bersikap seimbang antara semua komuniti dikawasannya, bukan mendengar satu pihak sahaja.

“Setiap wakil rakyat atau pemimpin masyarakat mesti menerima hakikat Malaysia adalah negara berbilang kaum dan agama dengan hak individu dilindungi dalam perlembagaan persekutuan. Ia mesti dihormati.

“Barulah kita dapat mencapai perpaduan dan keharmonian yang lebih luas untuk menjamin negara terus maju,” katanya.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments