Wednesday, January 8, 2025
HomeBREAKING NEWSJalan berlubang: Pastikan jalan berkualiti lebih penting daripada minta maaf, kata timbalan...

Jalan berlubang: Pastikan jalan berkualiti lebih penting daripada minta maaf, kata timbalan menteri

(Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Jabatan Kerja Raya (JKR) akan terpaksa memohon maaf “setiap hari” jika mahu menyampaikan simpati kepada semua mangsa kemalangan lubang jalan, kata Timbalan Menteri Kerjaya, Eddin Syazlee Shith.

Beliau berkata tidak timbul soal JKR mengamalkan dwi standard apabila hanya memohon maaf kepada Menteri Sains, Teknoloji, dan Inovasi, Khairy Jamaluddin atas kecederaannya selepas terlanggar lubang jalan ketika berbasikal di Banting semalam.

“Kita minta maaf kepada YB KJ. Betullah, kita kena minta maaf kepada rakyat secara keseluruhannya, cuma kalau…hendak minta maaf, hari-hari kena keluarkan kenyataan minta maaf…sebab ada jalan berlubang hari-hari,” kata beliau kepada FMT.

Beliau berkata demikian selepas pelbagai pihak menyelar JKR kerana di dakwa memohon maaf hanya kepada Khairy berdasarkan kedudukan politiknya tetapi tidak mengendahkan nasib rakyat biasa yang menjadi mangsa kemalangan seumpama itu.

Eddin Syazlee Shith.

Eddin berkata kenyataan maaf dengan sendirinya tidak membawa apa-apa makna, kerana “apa yang lagi penting adalah kita sedia hadapi tanggungjawab” dalam memastikan penyediaan jalan raya baik dan dasar “zero pot hole” (lubang jalan sifar) dilaksanakan dengan berkesan.

Beliau berkata apa yang penting ialah kerajaan, khususnya JKR, tidak memandang remeh masalah jalan berlubang, namun ia fenomena yang sukar di bendung dan boleh berlaku di mana sahaja.

“Masalahnya ini satu isu yang kita tidak boleh jangka, benda yang boleh berlaku pada bila-bila masa. Kempen ‘zero pot hole’ ini memang kita cuba lakukan yang terbaik.

“Tetapi hakikatnya benda ini (jalan berlubang) akan berlaku bila-bila masa. Contohnya semasa di Johor Bahru, saya sendiri pergi melawat, kita sudah tampal dan perbaiki, saya tengok semua okay. Tetapi dalam tempoh 1 hingga 2 bulan, ia berlubang balik,” kata beliau.

Eddin berkata keadaan itu menyebabkan kemalangan dan pihaknya sentiasa beriktihar akan mengunjungi keluarga mangsa.

“Bukan kita hendak lari dari tanggungjawab, tetapi ia boleh berlaku kepada sesiapa. Jadi, InsyaAllah, dari segi kualiti turapan, kita buat kajian, dari segi bajet, kos juga kita kena buat kajian, dari segi kakitangan yang menyelia juga perlu kita kaji sama ada cukup atau tidak,” kata beliau.

Eddin berkata peruntukan untuk menyelenggara jalan tidak cukup namun sudah ada persetujuan untuk pihaknya diberikan peruntukan tambahan secara berperingkat.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments