Friday, January 10, 2025
HomeBREAKING NEWSIndonesia sekat kemasukan warga asing dari 1 hingga 14 Jan

Indonesia sekat kemasukan warga asing dari 1 hingga 14 Jan

Indonesia sebelum ini membuka sempadannya kepada warga negara luar, terutama bagi merancakkan kembali sektor pelancongan seperti di Pulau Bali. (Gambar AP)

JAKARTA: Bermula 1 hingga 14 Jan tahun depan, Indonesia kembali menyekat kemasukan warga negara asing ke republik itu bagi mengekang penularan COVID-19, kata Menteri Luar, Retno Marsud.

Beliau berkata, bagi warga asing yang tiba ke Indonesia dari semalam hingga Khamis pula, mereka diwajibkan memiliki surat ujian swab atau “Polymerase Chain Reaction” (PCR) dari negara asal.

“Setibanya di lapangan terbang Jakarta, mereka perlu sekali lagi menjalani ujian PCR dan menjalani kuarantin selama lima hari,” katanya menerusi siaran YouTube rasmi sekretariat presiden, semalam.

Katanya, warga Indonesia yang berada di luar negara dibenarkan kembali ke negara itu bagi tempoh berkuatkuasanya peraturan baharu itu (1 hingga 14 Januari 2021), dengan mematuhi peraturan kesihatan COVID-19 yang ditetapkan seperti menjalani ujian swab atau PCR, dan kuarantin.

Bagaimanapun Retno berkata, sekatan terhadap warga asing memasuki negara itu dikecualikan kepada lawatan rasmi menteri dan pemimpin dari negara luar, namun mereka juga masih perlu mematuhi prosedur kesihatan COVID-19 yang ditetapkan.

Indonesia sebelum ini membuka sempadannya kepada warga negara luar, terutama bagi merancakkan kembali sektor pelancongan seperti di Pulau Bali.

Namun sejak kebelakangan ini, kes positif baharu COVID-19 di republik itu berterusan meningkat.

Berdasarkan data disiarkan di laman Twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia semalam, kes positif keseluruhan di Indonesia meningkat kepada 719,219, dengan kematian kumulatif berjumlah 21,452 orang.

Sebanyak 5,854 kes baharu dicatatkan dalam tempoh 24 jam, dengan 215 lagi kes kematian.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments