Tuesday, September 24, 2024
HomeBREAKING NEWSIbu tunggal menyamar ejen insurans kena 19 tuduhan

Ibu tunggal menyamar ejen insurans kena 19 tuduhan

MELAKA: Seorang ibu tunggal didakwa di Mahkamah Sesyen atas 19 pertuduhan menyamar sebagai ejen insurans, menyalahgunakan cek dan memalsukan tandatangan membabitkan kerugian lebih RM700,000, tujuh tahun lepas.

Loo Mei Lin, 48, yang merupakan pengerusi sebuah syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu di hadapan Hakim Norma Ismail.

Bagi pertuduhan pertama, Loo didakwa memperdaya seorang wanita, Teh Eet Meng, 54, dengan menyamar sebagai ejen insurans Allianz yang berdaftar bagi membeli 16 polisi insurans sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian berjumlah RM626,402.98.

Dia itu dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua dan ketiga, wanita itu didakwa menyalahgunakan cek Citibank milik mangsa sama berjumlah RM93,500 dan dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan keempat sehingga ke-19, dia didakwa memalsukan tandatangan milik seorang lagi wanita, Yap Soo Hui, 27, pada borang permohonan insurans Hayat Allianz dan tuduhan dibuat mengikut Seksyen 471/465 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Loo dituduh melakukan semua kesalahan itu di sekitar daerah Melaka Tengah antara Nov 2013 hingga Julai 2015.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahidah Mohamad dan Mazuin Hashim mancadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan mengambil kira jumlah kerugian tinggi yang ditanggung mangsa.

Bagaimanapun, tiga peguam yang mewakili tertuduh, iaitu Nizam Bashir, Linda Phua dan Rajsurian Pillai, memohon jaminan yang lebih rendah atas alasan anak guamnya perlu menanggung tiga anak selain menghidap penyakit jantung dan mempunyai masalah kewangan akibat pandemik COVID-19.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 20 Jan untuk sebutan semula kes.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments