Monday, December 23, 2024
HomeBREAKING NEWSHospital Covid-19 akan dibuka di pusat kuarantin Serdang

Hospital Covid-19 akan dibuka di pusat kuarantin Serdang

Dr Adham Baba (dua dari kanan) meninjau bilik yang akan menempatkan pesakit baru ketika melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia di Serdang pada Sabtu.

KUALA LUMPUR: Hospital bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang akan mula beroperasi 24 Jan ini bagi merawat pesakit Covid-19 kategori tiga, empat dan lima untuk distabilkan sebelum dihantar ke hospital ditetapkan bagi mendapatkan rawatan rapi.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkata, strategi itu bertujuan merawat kes pesakit Covid-19 dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS 2.0 kategori satu dan dua yang tiba-tiba menjadi kategori tiga atau empat dan lima.

Beliau berkata, hospital yang terletak di Dewan B itu akan menyediakan fasiliti sama dengan hospital lain seperti peralatan tekanan darah dan “negative pressure tent” yang menempatkan 30 katil bagi kategori tiga dan empat, serta sebuah khemah untuk transit unit rawatan rapi (ICU) dengan 10 katil di luar dewan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan meningkatkan jumlah petugas di sini, termasuk pakar penyakit berjangkit dan intensivis yang boleh mengendalikan kes Covid lebih kompleks dan melibatkan rawatan rapi,” katanya selepas melawat PKRC MAEPS 2.0 pada Sabtu.

Adham berkata, PKRC MAEPS 2.0 yang beroperasi sejak 9 Dis lalu akan mula menempatkan 10,000 pesakit Covid-19 kategori satu dan dua bermula 18 Jan ini.

“Saya telah meninjau tempat baru yang hendak diisi dan tempatnya kondusif kerana persiapan begitu teliti dan rapi, termasuk juga tempat khas untuk keluarga yang positif Covid-19.

“PKRC MAEPS 2.0 juga akan menerima pesakit Covid-19 kategori satu dan dua yang sembuh daripada kategori tiga, empat dan lima yang dirawat di hospital Covid-19, selain pesakit dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan dan Lembah Klang.”

Mengenai rawatan di rumah jika ada yang positif Covid-19, Adham berkata, Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) akan ditubuhkan di setiap daerah di seluruh negeri dengan kebenaran dan penilaian daripada pegawai kesihatan daerah.

“Mereka yang asimptomatik dan mempunyai tempat untuk diasingkan di dalam rumah akan dipertimbangkan. Sekiranya datang dari rumah sempit dan sesak serta mempunyai penyakit sampingan, kami tidak benarkan dan perlu ke hospital.”

Mengenai perkembangan vaksin, katanya, KKM menerima senarai nama 500,000 petugas barisan hadapan yang akan divaksinkan bagi fasa pertama bulan depan.

Menjawab dakwaan Skim Perlindungan MySalam dimansuhkan, beliau berkata, skim itu masih diteruskan, termasuk kaunter MySalam masih beroperasi di setiap hospital bagi membantu pesakit yang layak mendapatkan bantuan skim tersebut.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments