Saturday, November 16, 2024
HomeBREAKING NEWSHadi mohon menghadap Sultan Perak, bincang ‘suasana politik’

Hadi mohon menghadap Sultan Perak, bincang ‘suasana politik’

Difahamkan, tarikh dan masa untuk Abdul Hadi Awang menghadap Sultan Nazrin Shah belum ditetapkan.

PETALING JAYA: Presiden PAS, Abdul Hadi Awang memohon menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, demikian menurut surat yang dilihat FMT.

Difahamkan, permohonan menghadap itu bertujuan memaklumkan kedudukan PAS berhubung krisis politik di negeri itu, dengan tarikh dan masa diserahkan kepada budi bicara Sultan Nazrin.

“Saya bersedia menghadap pada tarikh, masa dan tempat yang diperkenankan tuanku,” kata Ahli Parlimen Marang itu dalam surat bertarikh 10 Dis itu.

FMT sedang mendapatkan pengesahan daripada pegawai Hadi dan pemimpin PAS lain, termasuk Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan berhubung tarikh menghadap.

Terdahulu, Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad dilaporkan berkata, pelantikan EXCO daripada PAS dalam kerajaan negeri hanya akan dimuktamadkan Sultan Nazrin.

Ketua Umno negeri itu berkata, pihaknya hanya boleh mencadangkan nama EXCO mengikut kesesuaian, tetapi hak memperkenankan pelantikan itu terletak pada kuasa mutlak Sultan Perak.

Semalam, seorang ADUN PPBM dan empat wakil rakyat UMNO mengangkat sumpah sebagai Exco Perak yang baru.

PAS mempunyai tiga ADUN di Perak. Dua daripadanya pernah dilantik sebagai EXCO di bawah kerajaan negeri pimpinan Ahmad Faizal Azumu.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria semalam yakin parti itu tidak akan ditinggalkan dalam pelantikan EXCO negeri yang baru.

PAS kini menyokong pelantikan Saarani sebagai menteri besar, walaupun sebelum ini  berkata ia tidak mahu terlibat dalam pembentukan kerajaan baharu setelah  Faizal  terpaksa meletak jawatan  minggu lalu.

Malah PAS Pusat sebelum ini mengarahkan tiga adunnya di Perak untuk membatalkan menghadap Sultan Nazrin ketika kemelut kepimpinan negeri itu berterusan susulan peletakan jawatan Faizal pada 5 Dis.

Beliau yang juga timbalan presiden PPBM terpaksa berbuat demikian setelah gagal memperolehi undi mencukupi dalam usul kepercayaan terhadapnya di Dewan Undangan Negeri.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments