Thursday, November 21, 2024
HomeBREAKING NEWSGabungan perdana PN: Tidak mudah Umno terima cadangan Hamzah, kata penganalisis

Gabungan perdana PN: Tidak mudah Umno terima cadangan Hamzah, kata penganalisis

PETALING JAYA: UMNO-Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan sukar untuk menyertai gabungan perdana yang dicadangkan Perikatan Nasional kerana kedudukan mereka sebagai parti dominan, kata penganalisis politik.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata jika UMNO dan GPS menyertai gabungan itu, kebebasan mutlak mereka menentukan kerusi yang bakal ditandingi pada pilihan raya akan tertakluk kepada rundingan dan kompromi dengan pihak lain.

“Maka, (ini akan menyebabkan) Umno, khususnya, terikat dan tidak mampu bertanding di kawasan kerusi tradisi mereka sendiri, justeru, merugikan parti itu,” kata beliau.

Awang Azman berkata cadangan gabungan perdana PN lebih menguntungkan PPBM dan PAS kerana ia membuka ruang untuk mereka bertanding di lebih banyak kerusi, di samping memanfaatkan jentera UMNO untuk tujuan itu.

Awang Azman Pawi.

“Ini (boleh) mengakibatkan Umno tidak lagi menjadi parti dominan kepada masyarakat Melayu”, kata beliau kepada FMT.

Semalam, Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin mencadangkan PN, BN, dan GPS bersatu bawah gagasan perdana untuk memastikan kemenangan pada PRU-15.

Hamzah, yang juga setiausaha agung PPBM, berkata gagasan itu harus menggubal ‘piagam persefahaman politik’ untuk menyakinkan rakyat pada keupayaan PN menawarkan kestabilan politik serta dasar-dasar berkesan.

Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO, Mohamad Khaled Nordin, menolak cadangan Hamzah itu dan mempersoalkan keperluan dan motif penubuhan gabungan politik baharu.

“Malaysia tidak memerlukan penubuhan ‘coalition over coalition’ (gabungan melampaui gabungan) kerana umum mengetahui ia strategi ‘survival’ untuk mendapat sokongan dari parti terbesar dan bukannya melalui sokongan daripada masyarakat,” kata beliau.

Beliau berkata penubuhan kerajaan PN atas kerjasama Ahli Parlimen pelbagai parti gagal mewujudkan kestabilan politik, justeru tidak ada jaminan gagasan baharu yang dicadangkan berupaya mencapai hasrat berkenaan.

“PPBM mesti berhenti bernostalgia dengan cerita lapuk pengorbanan mereka menyelamatkan negara. Semua retorik tersebut telah jelas hanya jalan mudah untuk ‘menyelamatkan’ parti masing-masing agar kekal berkuasa,” kata beliau.

Bagaimanapun, bekas ahli akademik Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan berkata gabungan perdana yang disarankan itu diperlukan berikutan krisis politik di Perak yang menjadi petanda parti-parti yang menyokong kerajaan PN saling memerlukan.

“Walaupun PPBM dan PAS mempunyai sokongan sedikit tetapi hakikatnya UMNO tetap memerlukan sokongan rakan dalam PN. Begitu juga PPBM. katanya.

Azmi Hassan.

Azmi berkata gagasan yang dicadangkan Hamzah itu menyediakan platform terbaik untuk PPBM, PAS dan UMNO bekerjasama menghadapi PRU-15.

“Ditambah dengan bantuan Gabungan Rakyat Sabah dan juga GPS sendiri, entiti politik ini dianggap paling utuh dan stabil jika diambil kira senario politik semasa.

“Persoalan parti mana yang mahu bertolak ansur atau mengalah atau berkeras (dalam pembahagian kerusi) menjadi isu utama. Jika ini berjaya dipersetujui, maka PN akan menjadi gagasan atau apa jua panggilan sekali pun, dihormati rakyat,” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Sivamurugan Pandian, berkata gagasan besar penting untuk membina kepercayaan dalaman dan mengatasi persepsi kerajaan PN ditubuhkan hanya untuk memerintah, tanpa ada prinsip tata kelola politik.

Katanya, walaupun parti berkenaan dijangka terus menggunakan lambang mereka pada PRU akan datang, kesediaan untuk berkompromi dalam pengagihan kerusi amat penting untuk membina keyakinan pada gabungan besar yang dicadangkan itu.

Hamzah melontar cadangan penubuhan gagasan PN itu setelah menteri besar Perak dari PPBM, Ahmad Faizal Azumu terpaksa meletak jawatan apabila hilang sokongan ADUN Umno di negeri itu.

Krisis itu mencetuskan ketegangan dalam hubungan Umno-PPBM-PAS namun reda setelah presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, memohon maaf atas ‘kekhilafan’ yang berlaku di Perak, manakala PAS dan PPBM bersetuju menyokong ketua UMNO negeri, Saarani Mohamad, sebagai MB baharu.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments