Friday, October 18, 2024
HomeBREAKING NEWSFokus kesejahteraan rakyat, bukan kekayaan negara, kata Jomo kepada kerajaan

Fokus kesejahteraan rakyat, bukan kekayaan negara, kata Jomo kepada kerajaan

Jomo Kwame Sundaram berkata rakyat lebih mementingkan kualiti hidup mereka berbanding KDNK negara.

PETALING JAYA: Kerajaan mesti memfokuskan lebih banyak usaha untuk memperbaiki kesejahteraan rakyat, bukan sekadar meningkatkan kekayaan negara atau mendapatkan pengiktirafan antarabangsa.

Penasihat Penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) Jomo Kwame Sundaram berkata, pendekatan menghitung punca pendapatan berdasarkan keluaran dalam negera kasar (KDNK) adalah amalan lapuk.

“Rakyat biasa tak kisah tentang angka KDNK, sebaliknya lebih bimbang apa kesannya terhadap kualiti kehidupan mereka,” katanya ketika pelancaran dalam talian Laporan Pembangunan Manusia Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) 2020.

Jomo berkata, polisi terkini negara kerap berasaskan trend dan perbincangan di Barat, bukan melihat kepentingan rakyat sendiri.

Beliau memberikan contoh, kesukaran kanak-kanak mendapat akses alat pembelajaran dalam talian yang sepatutnya boleh diatasi dengan menggunakan kaedah lebih tradisional seperti radio atau televisyen.

“Akibatnya, sia-sia saja kanak-kanak sudah kehilangan pendidikan selama lapan bulan kerana pilihan polisi awam lebih mementingkan kemodenan dan keinginan menjadi sebahagian daripada era digital”.

Sementara itu, Gan Pek Chuan, pengurus program biodiversiti dan pembangunan lestari UNDP Malaysia, Singapura dan Brunei berkata, pembuat polisi perlu membincangkan pembangunan lestari lebih mendalam pada peringkat Parlimen.

Beliau menggesa kerajaan mewujudkan jawatankuasa khusus bagi menangani isu alam sekitar dan kelestarian, kerana mampu meningkatkan kesedaran dalam kalangan ahli politik dengan memaklumkan mereka bagaimana isu berkenaan menjejaskan kesejahteraan sosial, kesihatan serta ekonomi.

Laporan UNDP, yang mengukur kesihatan, pendidikan serta taraf hidup sesebuah negara, mendapati nilai Indeks Pembangunan Manusia (HDI) Malaysia meningkat 26% antara 1990 hingga 2019, seterusnya meletakkan negara ini di tempat ke-62 daripada 189 negara serta wilayah.

Berdasarkan laporan itu, peningkatan berkenaan disebabkan purata jangka hayat lebih tinggi dan peningkatan pendapatan negara kasar per kapita.

Jangka hayat ketika kelahiran untuk rakyat Malaysia turut bertambah 5.3 tahun manakala jangkaan tempoh persekolahan meningkat kepada 3.9 tahun.

Bagaimanapun, pencapaian seperti itu memberi kesan terhadap alam sekitar, dengan Malaysia merekodkan 1.8 tan pengeluaran karbon dioksida per kapita berbanding Sweden (4.1 tan) dan Sri Lanka (1.1 tan).

Laporan itu juga menyebut, tiada negara yang mendapat pencapaian besar tanpa merosakkan sistem planet ini, seterusnya menggesa semakan segera terhadap polisi sosial, ekonomi serta alam sekitar untuk memastikan kemajuan manusia lebih lestari di seluruh dunia.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments