Saturday, January 11, 2025
HomeBREAKING NEWSFeri baharu P Pinang lebih pantas tapi lebih kecil

Feri baharu P Pinang lebih pantas tapi lebih kecil

Kapal laju Kenangan-2 dan Kenangan-3 dipinjamkan daripada Perkhidmatan Feri Langkawi. Ini akan menggantikan feri lama buat sementara waktu sementara menunggu penghantaran katamaran dan kapal pengangkut pada pertengahan 2022.

GEORGE TOWN: Kapal laju feri Pulau Pinang sepantas diuar-uarkan, mengambil masa hanya tujuh minit untuk menyeberang selat berbanding 20 minit menaiki kapal dua hujung lama.

Namun kapal ini mempunyai beberapa kekurangan. Tempat duduknya lebih rapat dan tiada ruang secukupnya untuk penjarakan fizikal.

Kapal ini mungkin bukan anda jika mudah mabuk laut atau takut berada dalam tempat yang sempit.

Sebanyak 105 orang termasuk wartawan dibawa Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang menaiki kapal “Kenangan-2” untuk perjalanan pergi-balik Jeti Swettenham-Butterworth pagi tadi.

Kapal yang hanya membawa pejalan kaki ini mampu membawa 200 penumpang pada satu-satu masa.

Kapasiti pejalan kaki sama seperti kapal lama, tetapi kapal lama boleh membawa kira-kira 30 kereta dan hampir 100 motosikal.

Kapal laju baharu ini akan mula berkhidmat 1 Jan dan percuma selama dua minggu. Selepas itu, penumpang dewasa dikenakan RM1.20 seorang dan 60 sen bagi kanak-kanak.

Kapal laju buatan Indonesia itu dipinjamkan daripada Perkhidmatan Feri Langkawi, dan akan berjalan setiap 20 minit ketika waktu puncak dan 30 minit pada waktu tidak sibuk.

Rombongan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang diketuai Pengerusi Tan Teik Cheng melambai dari kapal laju Kenangan-2 di Butterworth.

Satu kapal laju tambahan juga diletakkan dalam keadaan siap sedia. Semua kapal ini diluluskan Jabatan Laut.

CEO Penang Port Sdn Bhd, Sasedharan Vasudevan, berkata perkhidmatan ini khusus untuk 1.3 juta pejalan kaki yang menggunakan kapal lama.

“Kami mahu bawa orang, bukan kereta. Kapal laju ini berhawa dingin dan penumpang terlindung daripada cuaca. Lebih penting lagi, anda sampai ke destinasi dengan pantas,” katanya.

Dengan kapal lama, penumpang terdedah kepada hujan dan angin kuat.

Sasedharan berkata kapal ini akan melakukan 40 perjalanan pergi-balik dalam sehari dari 6.30 pagi hingga 11.30 malam, dari Jeti Swettenham di George Town dan Pengkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth.

Ruangan penumpang dalam kapal laju.

Kapal laju ini akan berkhidmat sehingga Jun 2022 sebelum khidmat feri diambil alih tiga kapal katamaran dan dua pengangkut kenderaan untuk motosikal.

Motosikal, basikal, dan beca akan menggunakan kapal lama sehingga kapal pengangkut tiba.

Mereka yang turun dari feri laju di Butterworth akan disambut pontun “Singa Besar 9”, yang diletakkan selari dengan tanjakan terminal feri lama.

Sebaik turun dari pontun, mereka akan dihalakan ke arah jambatan yang bersambung dengan Penang Sentral.

Petugas juga disediakan untuk membantu golongan kurang upaya menaiki kapal laju, dan mereka yang berkerusi roda akan diangkat masuk.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments