Saturday, September 21, 2024
HomeBREAKING NEWSEkosistem di Malaysia dilihat tidak menyokong cita-cita digital

Ekosistem di Malaysia dilihat tidak menyokong cita-cita digital

Pakar berkata, pembangunan teknologi digital di Malaysia terlalu bergantung pada syarikat telekomunikasi.

PETALING JAYA: Malaysia bakal berdepan kekecewaan dalam usahanya mencapai cita-cita ekonomi digital melainkan ia disokong oleh ekosistem sesuai yang sehingga kini belum kelihatan, kata pakar berhubung dasar.

Ahli exco Dewan Perniagaan Malaysia Australia Bobby Varanasi berkata, penggunaan teknologi digital tidak cukup meluas untuk memberi kesan bermakna ke atas ekonomi.

Beliau memberitahu FMT bahawa perubahan itu umumnya harus dikepalai oleh sektor swasta.

Usaha swasta boleh memperbaiki infrastruktur yang terhad dan sistem yang ketinggalan di negara ini selain memperluas akses jalur lebar, katanya.

Beliau berkata, perlu wujud insentif untuk menggalakkan syarikat bukan telekomunkasi melabur dalam infrastruktur bagi membentuk persekitaran inklusif.

Langkah pertama yang perlu diambil ialah memperluas akses jalur lebar berkualiti tinggi kepada masyarkat di luar bandar pada harga yang berpatutan.

Beliau berkata, menjalankan perniagaan tanpa akses jalur lebar berkualiti pada harga yang munasabah kini menjadi semakin sukar.

“Terdapat kira-kira lima juta pengguna jalur lebar di negara ini. 4G bukan jalur lebar. Anda boleh mengakses internet dengan 4G, tetapi anda tidak boleh menjalankan perniagaan dengannya.

Beliau berkata, langkah berikutnya ialah memastikan ekonomi tanpa tunai boleh dijalankan supaya peruncit dan penyedia perkhidmatan tidak bergantung pada penyedia e-dompet dan tertakluk kepada fi yang mungkin terlalu mahal untuk mereka.

Beliau berkata, petani komoditi di India telah berniaga beras dan ladang hitam secara atas talian selama berdekad-dekad sebelum ini.

Petani terbabit boleh menetapkan harga dan mendapatkan pesanan pembelian masa depan seperti perdagangan komoditi lain seperti minyak dan emas.

Varanasi berkata, ini adalah “ekonomi inklusif sebenar”.

Beliau berkata, ekonomi digital memerlukan sistem pembayaran sejagat yang inklusif.

“Pada masa ini, jika kita melihat e-dompet di negara ini berfungsi di platform Real-time Retail Payments (RPP) yang dimiliki dan dikendalikan oleh PayNet.

“Namun di luar penyedia e-dompet ini, tidak ramai yang beroperasi di RPP.

“Di India, saya boleh membeli karipap daripada penjual secara digital dan langsung, tanpa perlu menggunakan e-dompet.

“Inilah masyarakat tanpa tunai sebenar.”

Beliau berkata, banyak peniaga kecil yang tidak mampu menggunakan e-dompet, yang biasanya mengambil potongan di atas jualan mereka.

Varanasi berkata, masyarakat dan peniaga Malaysia harus berhenti meniru Amerika dengan berkata, beliau percaya menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh petani dan nelayan adalah lebih baik daripada meniru Lembah Silikon.

“Kita tidak bercakap tentang mereka. Kita bercakap tentang masalah kita seolah-olah kita orang Amerika, tetapi kita tidak perlukan satu lagi Google.”

Beliau menyifatkan Belanjawan terbaru sebagai rancangan jangka pendek dengan berkata, penekanan lebih serius harus diberikan kepada ekonomi inklusif, pembangunan infrastruktur dan usaha menjana potensi.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments