Friday, September 20, 2024
HomeBREAKING NEWSDzulkefly nasihat penduduk Selangor jangan balik kampung dulu

Dzulkefly nasihat penduduk Selangor jangan balik kampung dulu

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor berkata, negeri itu masih dikategorikan zon merah.

PETALING JAYA: Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor menasihatkan orang ramai menangguhkan rancangan pulang ke kampung susulan lonjakan kes di negeri itu.

Pengerusinya, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Selangor masih dikategorikan zon merah, dengan 90% kes baru yang direkodkan semalam membabitkan kluster tempat kerja.

“Punca utama kes mencanak naik di Selangor disumbangkan kluster Seruling dan kluster Hentian, manakala selebihnya daripada punca kes tak ada kaitan dengan kluster atau ‘unlinked cases’ yang berlaku secara spontan dalam komuniti.

“Maka, amat mustahak warga Selangor mengekang kehendak pulang ke kampung dan merentas daerah atau negeri kerana kita akan bawa pulang virus ini ke kampung,” katanya dalam kenyataan.

Bekas menteri kesihatan itu turut memperkenalkan sebuah program baru di bawah pasukan petugas itu, iaitu bekerjasama dengan majikan bagi mewujudkan “internal-bubbles” dan sekatan pergerakan untuk mengekang penularan virus di tempat kerja.

Selangor mencatatkan 829 kes baru hari ini, termasuk 685 kes yang dikesan daripada kluster aktif dan saringan kontak rapat.

Khamis lalu, terdapat 1,428 kes yang merangkumi lebih separuh daripada keseluruhan kes di seluruh negara.

Kementerian Kesihatan menjangkakan kes di negeri itu kekal tinggi, susulan saringan besar-besaran ke atas pekerja asing yang giat dijalankan.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments