Friday, October 18, 2024
HomeBREAKING NEWSDarurat diisytiharkan di Gerik dan Bugaya, PRK 16 Jan terbatal

Darurat diisytiharkan di Gerik dan Bugaya, PRK 16 Jan terbatal

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di Parlimen Gerik, Perak dan DUN Bugaya, Sabah kerana bimbang kesan pilihan raya diadakan semasa pandemik, sekaligus membatalkan pilihan raya kecil pada 16 Jan 2021.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata Agong bersetuju dan berpuas hati ada keperluan mengisytiharkan darurat di dua kawasan itu, mengambil iktibar daripada penularan Covid-19 susulan Pilihan Raya Negeri Sabah.

Katanya, Jemaah Menteri menasihati Agong kedua-dua PRK itu perlu dielakkan “atas faktor ancaman kesihatan awam, ancaman ke atas kehidupan ekonomi, dan ancaman ketenteraman awam”.

“PRK Gerik dan Bugaya yang telah dijadualkan pada 16 Jan dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak.”

Kerajaan mempertimbangkan keperluan mengisytiharkan darurat di Gerik dan Bugaya bagi menangguhkan PRK bagi mengelakkan gelombang pandemik keempat, kesukaran mematuhi SOP pencegahan Covid-19, dan kekurangan kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya yang sanggup bertugas di lapangan.

Kerusi Parlimen Gerik kosong dengan kematian penyandangnya, Hasbullah Osman, pada 16 Nov.

Kerusi DUN Bugaya kosong dengan kematian penyandangnya, Manis Muka Darah, keesokannya.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments