Tuesday, January 7, 2025
HomeBREAKING NEWSDAP sokong Saarani tanpa jejas tanggungjawab sebagai pembangkang

DAP sokong Saarani tanpa jejas tanggungjawab sebagai pembangkang

IPOH: Peruntukan sama rata RM200,000 tahunan untuk ADUN kerajaan dan pembangkang serta pengiktirafan rasmi jawatan Ketua Pembangkang, antara sebab DAP setuju memberi sokongan bulat kepada menteri besar Saarani Mohamad dari Umno sebagai menteri besar.

Naib Pengerusi DAP Perak yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Abdul Aziz Bari berkata, sokongan itu juga untuk memberi Saarani peluang membuktikan komitmennya.

“Bagaimanapun DAP dan Pakatan Harapan (PH) akan terus memainkan peranan kami sebagai pembangkang yang berkesan dalam memastikan kerajaan negeri melaksanakan tanggungjawab dengan baik,” katanya kepada FMT.

Abdul Aziz yang juga ADUN Tebing Tinggi akur bahawa tanpa sokongan Pakatan Harapan pun, Saarani akan tetap menang usul percaya di DUN kerana kerajaan negeri mempunyai 33 ADUN berbanding pembangkang, 24.

Saarani menerima sokongan sebulat suara kesemua 59 ADUN negeri itu dalam usul undi percaya yang dibawa ADUN Trong, Jamilah Zakaria dari UMNO-BN sebelum pembentangan Belanjawan Negeri 2021.

Sementara itu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, PH mencapai kata sepakat bersama menteri besar baharu itu dalam beberapa hal membabitkan belanjawan negeri.

“Kata sepakat itu termasuklah peruntukan sama rata sebanyak RM200,000 setahun kepada semua ADUN serta membenarkan setiap wakil rakyat termasuk pembangkang menjadi anggota Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD), Jawatankuasa Focus Group Daerah (FGD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah,” katanya

Nga berkata, kerajaan negeri juga bersetuju memberikan pengiktirafan rasmi kepada jawatan Ketua Pembangkang dengan gaji, elaun, emolumen dan kemudahan yang munasabah.

“(Kerajaan negeri juga) meminda Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) dilantik dalam kalangan pembangkang,” katanya.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments