Thursday, May 9, 2024
HomeBREAKING NEWSDAP Sabah senyap atas desakan tukar pimpinan PH

DAP Sabah senyap atas desakan tukar pimpinan PH

Frankie Poon berkata, kepimpinan pembangkang persekutuan patut membantu perjuangan Sabah.

KOTA KINABALU: DAP Sabah mengambil sikap berkecuali dalam gesaan Presiden Warisan, Shafie Apdal untuk pertukaran kepimpinan dalam pembangkang di peringkat kebangsaan.

Sebaliknya, pemangku ketuanya, Frankie Poon berkata, sesiapa yang berada dalam kepimpinan pembangkang persekutuan patut membantu memperjuangkan hak Sabah.

Ditanya sama ada kenyataan Shafie menyebabkan DAP, sekutu rapat Warisan di Sabah, dalam keadaan serba salah, katanya, bekas ketua menteri Sabah itu berhak menyuarakan pendapatnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, hubungan kedua-dua parti masih erat.

“Saya tidak boleh kawal apa yang beliau (Shafie) perlu cakap – beliau ada hak. Bagi saya, saya hanya melihat kepentingan Sabah dan bagaimana ia boleh membantu Sabah,” katanya kepada FMT.

Minggu lalu, Shafie dilaporkan berkata, pembangkang akan kalah dalam pilihan raya umum akan datang, jika ia terus diterajui kepimpinan sama.

Tanpa menamakan sesiapa, Ahli Parlimen Semporna itu berkata, ada keperluan pertukaran kepimpinan secara menyeluruh memandangkan kepimpinan sedia ada berpecah dan tiada hala tuju.

Komennya bagaimanapun ditafsir sebagai serangan terhadap ketua pembangkang, Anwar Ibrahim.

Susulan itu, pemimpin PKR Sabah membalas dengan Ketua Pemudanya, Raymond Ahuar berkata, kepimpinan sekarang masih utuh dan mendakwa parti seperti Warisan dan Pejuang yang cuba melemahkan Pakatan Harapan dengan tidak menyokong usahanya di Parlimen.

Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeek Rakimin turut menyasarkan Warisan, dengan berkata kepimpinan parti itu perlu dirombak, jika tidak mahu kalah dalam PRU15.

Sementara itu, Poon menyambut baik langkah Warisan melebarkan sayapnya ke Semenanjung kerana Shafie mempunyai pengaruh bukan saja di Sabah, tetapi juga di seberang Laut China Selatan.

“Pengalaman saya bersama Shafie menunjukkan beliau ialah pemimpin berkebolehan dengan pengalaman luas dan visi jelas.

“Saya yakin mereka boleh berkembang apabila mereka ke peringkat nasional, walaupun ianya tidak mudah”, katanya sambil menambah Warisan memerlukan lebih banyak masa untuk bertapak di Semenanjung.

Beliau berkata, DAP tiada masalah bekerjasama dengan Warisan pada masa depan dan mereka sedia bekerjasama dengan sesiapa yang mahu memperjuangkan hak Sabah.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments