Wednesday, May 8, 2024
HomeBREAKING NEWSBuskers Sabah cari rezeki melalui media sosial

Buskers Sabah cari rezeki melalui media sosial

Buskers di Sabah cari alternatif baharu untuk mencari rezeki. (Gambar Bernama)

Penularan pandemik COVID-19 nyata memberi kesan kepada kebanyakan sektor pekerjaan.

Pemuzik jalanan atau buskers di Sabah yang sering menghiburkan masyarakat di tempat awam juga tidak terkecuali.

Namun begitu, mereka tidak pernah patah semangat sebaliknya mencari inisiatif untuk terus menghibur dan mencari rezeki dalam norma baharu.

Antaranya menerusi laman sosial Facebook dan di lokasi tertutup dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Timbalan Presiden Sabah Buskers Community Mohd Fidzuan Azlin Melan berkata pendekatan itu diambil bagi memastikan kira-kira 500 ahlinya termasuk buskers, ahli silap mata dan pelukis yang bergiat aktif sejak 2013, memperoleh pendapatan sekali gus mampu terus ‘bernafas’ dalam tempoh mencabar ini.

“Buskers adalah salah satu pekerjaan yang terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sabah memandangkan 90 peratus buskers di bawah Sabah Buskers Community melakukan aktiviti itu secara sepenuh masa.

“Penutupan ‘Buskers Zone’ telah menyebabkan mereka hilang mata pencarian,” ujarnya.

Walaupun sukar, kata Mohd Fidzuan, kebanyakan buskers di Sabah mengambil inisiatif membuat persembahan secara langsung di media sosial. Malah, ada yang mencipta lagu dan tidak kurang juga mula berniaga secara dalam talian.

“Sebelum ini, para buskers di Sabah boleh menjana pendapatan sekurang-kurangya RM120 sehari hasil sumbangan atau token orang awam yang menonton persembahan mereka, dengan anggaran pendapatan lebih RM3,000 sebulan,” katanya lagi.

Rata-rata buskers ini membuat persembahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Segama Waterfront, Medan Selera Tanjung Lipat, Pasar Malam Api-Api, Tamu Minggu Jalan Gaya, selain terdapat beberapa lokasi di daerah lain seperti Tawau.

“Bagaimanapun, di tengah-tengah pandemik ini, buskers kehilangan 70 peratus pendapatan bulanan mereka meskipun komitmen membuat persembahan diteruskan menerusi media sosial.

“Sekarang, aktiviti kembali seperti biasa tetapi secara norma baharu dan buskers di Sabah juga sudah mula membuat persembahan di lokasi tertutup serta lokasi-lokasi sesuai yang dibenarkan,” kata Mohd Fidzuan lagi.

Sabah Buskers Community berharap kerajaan Sabah terus menyokong aktiviti ‘busking’ dengan membuka lebih banyak ‘Buskers Zone’ terutama di lokasi tumpuan orang ramai dan pelancong luar.

Mereka juga berharap kerajaan negeri dapat memberi kemudahan dana dan geran kepada persatuan berdaftar yang mengelola buskers tempatan di Sabah untuk aktiviti berskala kecil atau besar.

“Selain itu, pengiktirafan perlu diberikan kepada komuniti buskers sebagai Duta Seni Bandaraya dan Duta Jalanan untuk pelancongan Sabah,” akhirinya yang juga berharap aspirasi komuniti buskers itu disenaraikan dalam Belanjawan Negeri, yang dijadual dibentangkan 18 Dis ini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments