Sunday, September 22, 2024
HomeBREAKING NEWSBiryani Wallahs, sentuhan lazat dari 2 wanita Pakistan

Biryani Wallahs, sentuhan lazat dari 2 wanita Pakistan

‘Orang kuat’ Biryani Wallahs. Dari kiri: Saima Khan, Mahi Ramakrishnan dan Hina Ayaz.

KUALA LUMPUR: Jam menunjukkan pukul 7 pagi dan kelihatan Hina Ayaz di tengah ruang dapur sedang menyalakan tungku mudah alihnya. Sementara rakannya, Saima Khan pula mengeluarkan sebaldi ayam yang sudah diperap dari peti sejuk.

“Kami berjaga sehingga jam 2 pagi untuk memastikan ayam ini betul-betul bersih dan diperap rapi. Barulah kami menyiapkan sayur-sayuran. Sebenarnya tidur pun tidak cukup kerana perlu bangun jam 5 pagi untuk merendam beras pula,” kata Hina kepada FMT.

Ayam yang sudah diperap kemudian digoreng.

Mereka begitu tangkas menyiapkan tugas, demi mengejar masa. Saima memerhatikan minyak panas di dalam periuk sambil Hina memasukkan ayam perlahan-lahan. Aroma rempah dan daging yang sedang dimasak memenuhi setiap ruang apartmen mereka.

Menjelang jam 9 pagi, dengan bantuan aktivis hak asasi manusia Mahi Ramakrishnan, dua sahabat itu sudah mula menceduk biryani dum ayam serta biryani sayuran ke dalam bekas-bekas yang ditampal logo Biryani Wallah.

Biryani yang baru dimasak dimasukkan ke dalam bekas untuk dihantar kepada pelanggan.

“Ini jualan pertama Biryani Wallahs,” kata Mahi, sambil menjelaskan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beliau tidak menang tangan dengan pelbagai kerja kemanusiaan termasuk menghantar bekalan makanan, tuala wanita, pelitup muka serta sanitasi tangan kepada golongan pelarian dan pekerja asing, malah juga untuk rakyat tempatan yang memerlukan bantuan.

Lama-kelamaan beliau mula menyedari niat baik saja tidak mencukupi dalam melakukan kerja kebajikan, kerana mendapatkan dana sewajarnya bagi membeli barangan keperluan berkenaan bukanlah sesuatu yang mudah.

Jelasnya, walaupun orang ramai serta ada syarikat yang begitu bermurah hati menderma, pihaknya sering berdepan kekurangan wang sehingga memaksa dirinya turut menggunakan simpanan peribadinya.

“Penggunaan wang yang tinggi memang tidak dapat dielakkan. Akhirnya saya menyedari tidak mungkin dapat berterusan berbuat demikian walaupun bantuan masih diperlukan.”

Namun, keadaan berubah apabila takdir menemukannya dengan dua wanita Pakistan, Saima serta Hina ketika berpeluang menjamah makan tengah hari yang begitu lazat di rumah mereka.

“Ini membuatkan saya terfikir untuk berganding bahu dengan dua wanita ini, terutama memandangkan mereka mempunyai bakat memasak yang hebat!

“Ini bukan saja memanfaatkan mereka dari segi sumber pendapatan, malah membuka ruang untuk saya sendiri bekerja sama dengan lebih ramai wanita pada masa depan,” katanya.

Hina menyediakan biryani sayuran manakala Saima memeriksa ayam yang sedang digoreng.

Berasal dari Lahore, Hina datang ke Malaysia pada 2012 untuk mencari kerja bagi memastikan kehidupan serta pendidikan tiga anak-anaknya lebih terjamin. Saima pula datang dari Karachi dan tiba di sini setahun selepas itu, juga untuk mencari peluang rezeki yang lebih baik.

“Sebelum Biryani Wallahs, kami mencari rezeki sebagai tukang batu dan mengambil upah menjahit tudung, tetapi hilang pekerjaan akibat wabak COVID-19. Jadi kami cuba pula mencari rezeki dengan membuat samosa sejuk beku, paratha ayam gulung serta ‘pilau’ yang diniagakan di Masjid Jamek,” kata Hina.

“Mahi memberikan kami semangat untuk memulakan perniagaan Biryani Wallahs,” kata Saima sambil tersenyum, malah menambah bahawa keyakinan Mahi terhadap mereka turut memberikan mereka lebih keberanian.

Ayam yang siap digoreng dilapiskan dengan nasi untuk dimasak ala ‘dum.’

Saima dan Mahi tidak pernah tunduk mengaku kalah walaupun berstatus pelarian yang membesarkan tiga anak tanpa bantuan sesiapa.

“Kami tidak berminat sekadar duduk di rumah dan menunggu derma jatuh dari langit, kami mahu bekerja untuk kelangsungan hidup,” kata Hina.

Antara menu Biryani Wallahs termasuk biryani dum ayam dengan acar mangga berharga RM17.50 serta biryani sayuran juga dengan acar mangga dijual pada harga RM15.

Sekilas pandang biryani sayuran mungkin disangka kosong saja, tetapi sebenarnya turut digandingkan dengan campuran kubis bunga, kacang pis, kacang panjang, paneer (keju) dan badam yang dimasak menggunakan rempah campuran masala biryani.

Biryani yang siap menunggu penghantaran.

“Buat masa ini, kami dapat membuat penghantaran hampir ke semua lokasi kecuali Shah Alam dan Klang. Saya berharap dapat melibatkan lebih ramai wanita pada masa depan selain membuka cawangan di Klang kerana menerima banyak permintaan dari dua lokasi berkenaan.

“Malangnya, untuk membuat penghantaran ke sana dari lokasi kami adalah terlalu mahal,” kata Mahi.

Biryani Wallahs juga merancang memperkembangkan menu mereka dengan menambah hidangan lain seperti biryani ikan, udang dan kambing.

Sementara kami berbual, Hina sempat menghidangkan teh ala Pakistan menggunakan resipi diwarisi daripada neneknya.

“Tetamu ke rumah saya tidak mungkin pulang tanpa menikmati secawan teh saya,” katanya kepada FMT sambil menjerang air dalam periuk kecil.

Memang menyegarkan – secangkir teh yang pekat lagi manis seolah-olah membayangkan masa depan gemilang Biryani Wallahs.

Untuk membuat tempahan, hubungi Biryani Wallahs di 012 37394919 dan untuk maklumat lanjut layari laman Facebook mereka di sini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments