Thursday, September 19, 2024
HomeBREAKING NEWSBincang, teliti SOP Covid-19 jemaah haji, kata timbalan mufti

Bincang, teliti SOP Covid-19 jemaah haji, kata timbalan mufti

Perkara penting dalam SOP itu ialah penjarakan fizikal, yang amalannya perlu dibezakan berdasarkan situasi seperti jarak antara jemaah dalam kenderaan berbeza (Gambar AP)

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) dan Kementerian Kesihatan serta pihak berkepentingan, hendaklah melakukan perbincangan serta meneliti situasi pandemik Covid-19 untuk merangka prosedur operasi standard (SOP) lengkap, bagi jemaah Malaysia mengerjakan haji.

Timbalan Mufti Selangor Anhar Opir berkata, ibadat haji mengalami kesan signifikan berikutan penularan Covid-19, seperti aspek perjalanan dan kos, justeru SOP lengkap diperlukan bagi memastikan kelancarannya, selain menjaga jemaah haji Malaysia daripada terdedah wabak itu.

Beliau berkata, SOP itu perlu dicadang bagi mengelakkan kemudaratan terhadap jemaah haji, yang mana dalam kaedah Fiqh menyatakan mengelakkan mudarat itu perlu didahulukan daripada mendapatkan manfaat.

“Pandemik Covid-19 ini adalah ujian Allah, yang sehingga sekarang tiada ubat hanya SOP dapat membantu, kerana itu kita sebut SOP itu perlu bagi kita jauhkan mudarat, SOP ini mungkin berbeza berdasarkan situasi tertentu,” kata Anhar yang juga ahli jawatankuasa pembimbing ibadat haji TH, kepada Bernama.

Menjelaskan lebih lanjut tentang situasi itu beliau berkata, antara perkara penting dalam SOP ialah penjarakan fizikal, yang amalannya perlu dibezakan berdasarkan situasi seperti jarak antara jemaah dalam kenderaan berbeza dengan jarak di kawasan lapang ketika beribadat.

Anhar berkata selain itu, SOP ketika melontar melibatkan penjarakan fizikal supaya tidak bertembung dengan kumpulan lain dan SOP ketika berada di bilik penginapan juga perlu diteliti, bagi mengelakkan penularan Covid-19.

“Berada di Arafah untuk wukuf dan di Mina juga perlu SOP sendiri, tetapi di Mina contohnya jumlah jemaah tidak boleh ditambah, sedangkan penjarakan fizikal adalah perlu, ini kerana kawasan tersebut amat terhad. Ini saya cadangkan agar diteliti lebih lanjut lagi.

“Pakai pelitup muka (ketika sedang berihram haji atau umrah) kita putuskan dalam Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan bahawa, dalam situasi wabak ia diharuskan kerana ada keperluan dan hanya dikenakan dam sekali sahaja,” katanya, merujuk perihal jemaah lelaki sedang berihram haji atau umrah dilarang memakai pakaian berjahit yang menutupi tubuhnya bagi lelaki, manakala wajah bagi wanita.

Selain itu katanya pemilihan jenis ibadat haji jemaah Malaysia juga boleh dilakukan, bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, kenaikan kos mengerjakan haji dengan perlaksanaan SOP mengekang Covid-19 juga harus diteliti, bagi memastikan jemaah dan pengendali khidmat haji serta umrah seperti TH tidak terbeban.

“Kalau (laksanakan) penjarakan fizikal, kapal terbang yang sebelum ini boleh muat 400 dan bas boleh muat 50 mungkin perlu bahagi dua (kapasiti penumpang), tetapi ia akan meningkatkan harga kos, ditambah lagi dengan kos kuarantin dan ujian Covid-19 serta kos-kos lain, pasti akan beri kesan kepada kos keseluruhan ibadah haji,” katanya.

Anhar berkata syarat baharu untuk kebenaran mengerjakan ibadah umrah oleh kerajaan Arab Saudi pada 1 Nov lepas boleh dijadikan gambaran, untuk melihat kepada SOP mengerjakan haji selepas ini, antaranya had umur jemaah iaitu 18 hingga 50 tahun.

“Kalau pendekatan atau perkara sama diguna pakai formulanya seperti umur untuk ibadat haji nanti, mungkin akan ada syarat tambahan lain seperti pengesahan kesihatan, kesan simptom seperti lakukan ujian saringan 72 jam sebelum bertolak dan lain-lain.

“Golongan berisiko mungkin akan dikenakan syarat tambahan, sama ada pengesahan doktor dan seumpamanya, sekiranya melihat kebenaran ibadat umrah baru-baru ini,” katanya.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments